Ada pasukan khas di MRT pantau ancaman pengganas
KUALA LUMPUR, 24 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Kerajaan melalui pasukan petugas khas akan memantau keselamatan daripada ancaman pengganas.di semua stesen MRT.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, pihaknya yakin Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan berkongsi maklumat dalam mengatasi sebarang potensi ancaman.
“Kita sedar ancaman datang daripada pelbagai hala. Apatah lagi sebahagian daripada laluan MRT iaitu 9 kilometer (km) daripada Muzium Negara ke Jalan Cochrane di bawah tanah.
“Kita ada langkah keselamatan yang diambil secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Task force ini untuk adakan rondaan secara berkala supaya kejadian sebegini (ancaman) tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di sesi Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas beliau, Prasarana memperuntukkan kira-kira RM6.5 juta setahun untuk menguruskan aspek keselamatan pengguna dan sistem pengangkutan awam termasuk MRT Fasa Satu.
“Prasarana mempunyai 91 anggota keselamatan serta polis bantuan bagi menjaga keselamatan penumpang dan aset-aset di sepanjang laluan MRT melibatkan 12 stesen dan satu depoh. Mereka dilengkapi walkie talkie dan senjata ringan seperti baton.
“Bagi perkhidmatan MRT Fasa Dua Laluan Sungai Buloh-Kajang melibatkan 31 stesen sepanjang 51 km yang akan dibuka Julai ini, seramai 126 anggota keselamatan akan ditambah.
“Selain itu, keselamatan perkhidmatan juga disokong oleh lebih 1,000 kamera tertutup yang dipasang di lokasi strategik,” katanya.
The post Ada pasukan khas di MRT pantau ancaman pengganas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan