Ahli Parlimen saran kerajaan kaji sistem pentadbiran MAS
KUALA LUMPUR, 15 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh menggesa kerajaan mengkaji semula sistem pentadbiran dalam Malaysia Airlines (MAS) berikutan tindakan syarikat tersebut membawa masuk pekerja baharu tidak berpengalaman selepas membuang ramai kakitangannya.
Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja membantutkan usaha pemulihan MAS, malah akan terus menjerumuskan lagi syarikat penerbangan negara itu kepada masalah kerugian.
“Kalau inilah pentadbiran MAS tentu sekali berlaku masalah kelewatan penerbangan dan sebagainya, sebab itulah rugi besar.
“Jadi, kita minta kerajaan meneliti semula pergerakan MAS, jangan suka-suka buang pekerja berpengalaman dan ambil orang baharu kerana orang baharu tidak tahu apa-apa,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan MAS memansuhkan penyediaan arak secara percuma dalam pesawat.
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pula menimbulkan isu gaji ketika mencelah perbahasan tersebut dengan berkata, walaupun diperakui salah sebuah syarikat penerbangan dunia paling berkualiti, timbul persoalan apabila harga tiket MAS mahal tetapi gaji kru lebih rendah berbanding AirAsia.
The post Ahli Parlimen saran kerajaan kaji sistem pentadbiran MAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan