Bekas pengurus Bernas dipenjara 60 bulan, denda RM365,000

ALOR SETAR, 14 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Bekas pengurus Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) dijatuhkan hukuman penjara 60 bulan serta denda RM365,000 selepas dia didapati bersalah atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,000 berhubung pemberian kuota beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15), empat tahun lalu.

Hakim Zanor Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Hassin Mad Zin, 55, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara tambahan 35 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menerima wang suapan RM9,000 daripada pemilik perniagaan WH Awana Enterprise, Wan Helmi Wan Darus melalui akaun Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) di Bank Islam Cawangan Alor Setar di sini kira-kira pukul 1.38 petang, 6 Ogos 2014.

Hassin didakwa menerima suapan itu selepas mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 30 tan metrik daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Julai 2014.

Pertuduhan kedua hingga keenam pula menyebut, bapa kepada lima anak itu didakwa menerima suapan berjumlah RM64,000 daripada pemilik syarikat Berkat Zairul Enterprise, Rusli Abdullah sebagai upah mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 40 tan metrik daripada kementerian sama pada September, Oktober, November dan Disember 2013.

Hassin yang merupakan bekas Pengurus Bahagian Perhubungan Petani dan Pelanggan Bernas menerima RM12,800 bagi setiap pertuduhan itu dan didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 11 September 2013 dan 7 Januari 2014 di Bank Islam Cawangan Guar Chempedak, Gurun.

Keenam-enam pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

The post Bekas pengurus Bernas dipenjara 60 bulan, denda RM365,000 appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?