Belum masa Isma jadi parti politik
Oleh Athirah Huda Zalhe
KUALA LUMPUR, 19 Jamadilakhir 1438H, Sabtu – Belum tiba masa yang sesuai bagi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyertai politik dan menjadi sebuah parti alternatif kepada pengundi di Malaysia, kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
Katanya, setakat ini Isma belum mempunyai kemampuan untuk berubah sebagai sebuah parti alternatif, sebaliknya selesa menjadi medium dalam memberi nasihat dan pandangan.
“Itu lebih baik daripada kita menambah keruh, sebab jika kita tak mampu merealisasikan apa yang dikehendaki pengundi, ia hanya mengelirukan dan mengeruhkan keadaan sekarang ini.
“Jadi kita akan berterusan meneruskan usaha memberikan kefahaman dalam bentuk wacana perbincangan menerangkan fakta-fakta, membawa hujah yang menarik manusia kepada fitrah mereka dengan pandangan yang waras daripada pelbagai pengaruh yang tidak rasional untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Agung Kali Ke-15 Isma di Dewam Muktamar Menara Pusat Islam, di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada Isma bakal meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ustaz Abdullah Zaik berkata:
“Kita mempunyai ramai calon, cuma tempat menang untuk bertanding itu tiada. Kalau ada tempat menang, kita sedia memberikan calon. Siapa beri kerusi, dan kita boleh menang, maka kita terima,” katanya.
The post Belum masa Isma jadi parti politik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan