Dibunuh hanya kerana sepasang kasut Adidas?
YA ALLAH! Pedang terkejut apabila membaca berita mengenai seorang pemuda yang dilaporkan meninggal dunia akibat dipukul selepas disyaki mencuri sepasang kasut. Sebelum ini, ada berita lelaki maut, juga dipukul kerana mencuri telefon bimbit.
Kejadian terbaru 4.45 pagi semalam, membabitkan seorang pemuda berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di sebuah kedai bundle di Jalan Merlin, Tampin, Negeri Sembilan. Mangsa disyaki mencuri sepasang kasut sukan jenama Adidas berharga RM200 dari premis berkenaan.
Polis kemudian menangkap empat lelaki berusia 30 hingga 34 tahun iaitu pemilik kedai, dua pekerja kedai dan abang mangsa sendiri. Abang mangsa turut ditahan kerana ada saksi polis nampak dia turut menendang mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Kalau ikut seksyen ini, hukumannya adalah mati mandatori. Tapi ada kemungkinan kes ini akan ditukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat. Bagaimanapun, terserah kepada pihak pendakwaan.
Begitulah murahnya nyawa sekarang ini. Undang-undang diletak di tangan sendiri. Akibatnya, keluarga yang menanggung malu bila yang melakukan perbuatan itu ditangkap, dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.
Memanglah kadang kala dalam melepaskan amarah manusia akan ‘hilang ingatan’, lalu bertindak di luar batasan, tanpa memikirkan akibatnya. Dalam keadaan marah inilah syaitan dapat menguasai kita, lalu didatangkan sifat keji yang lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh.
Bukan kita tidak boleh marah. Boleh marah dengan cara teguran jika ahli keluarga kita tidak mengikut perintah Allah, untuk kebaikan. Bukan marah mengikut nafsu hingga mendatangkan kecederaan dan kematian. Dulu-dulu, Pedang pun angin juga atau orang kata panas baran, sekarang ini marah sikit-sikit saja.
Marah mengikut nafsu ini datangnya dari syaitan dan syaitan itu diperbuat daripada api. Jadi, padamkan api dengan air. Rasulullah SAW memberi kita ubat paling mujarab. Sabda baginda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api.” (Riwayat Abu Daud).
Mengawal sifat marah ada ganjaran besar. Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga.” (Riwayat al-Bukhari)
Allah juga marah dan murka. Tetapi, marah dan murka bagi Allah adalah sifat yang sesuai dengan keagungan dan kemuliaan-Nya. Tidak sama dengan makhluk. “…Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.” (Asy-Syura ayat 11)
“Dan Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan (juga) orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (azab) yang buruk, dan Allah murka kepada mereka dan mengutuk mereka, serta menyediakan neraka Jahannam bagi mereka. Dan (neraka Jahannam) itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Al-Fath ayat 6)
Begitu juga, jangan marah kepada Dr Zakir Naik. Jangan marah kepada RUU 355. Zakir Naik sentiasa menganjurkan kedamaian, bukan mengajak melancarkan keganasan atau peperangan.
RUU 355 untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan hukum Islam, walaupun hukum hudud dan qisas yang berat-berat belum boleh dilaksanakan kerana ada halangan lain. Kenapa hendak marah dan bimbang.
Tindakan sesetengah puak Melayu Islam menentang RUU 355 kerana pemikiran mereka yang singkat. Takut kepada hukum Allah lalu menggunakan alasan remeh untuk melakukan bantahan. Negara berbilang bangsa, berbilang agama, keadaan ekonomi, pelabur, bukan alasan untuk tidak menegakkan hukum Allah.
Hidup ini ada undang-undang dan peraturan supaya manusia boleh menjalani kehidupan sementara di dunia ini yang menjadi jambatan hidup kekal di akhirat, dengan aman dan damai. Tetapi, demikianlah lumrah dunia selepas kekesalan Qabil membunuh adiknya Habil sebagaimana difirmankan Allah dalam surat al-Maidah ayat 27 hingga 31.
Kata Pedang: Jangan politikkan hukum Islam. Hukum Islam adalah yang terbaik. Apakah Ahli Parlimen yang beragama Islam hendak menolak hukum Islam kerana diketengahan oleh sebuah parti politik yang menjadi musuh mereka?
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu.
The post Dibunuh hanya kerana sepasang kasut Adidas? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan