Isu Korea Utara: MKN adakan mesyuarat tergempar petang ini

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini berhubung tindakan Korea Utara menyekat rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Sumber memberitahu Bernama, mesyuarat tertutup itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pangkalan Udara TUDM Subang pukul 6 petang ini, sebaik pulang daripada menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) di Jakarta.

Mesyuarat dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pegawai kanan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, MKN dan agensi-agensi yang terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan negara.

Najib dalam kenyataan hari ini mengarahkan MKN mengadakan mesyuarat tergempar berhubung tindakan Korea Utara itu.

Perdana Menteri juga telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya menghalang semua rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia daripada meninggalkan negara ini.

Malaysia sebelum ini mengambil tindakan mengusir Duta Korea Utara Kang Chol dan duta berkenaan meninggalkan negara ini Isnin.

Kang Chol dilaporkan membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, pada 13 Februari.

Sabtu lalu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengisytiharkan Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia mengumumkan warga Korea Utara dikehendaki memohon visa untuk memasuki negara ini berkuat kuasa 6 Mac.

Jong-nam dilaporkan dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum sempat berlepas ke Macau.

Susulan pengusiran itu, Pyongyang bertindak balas dengan mengusir duta Malaysia di sana, Selasa, dengan memberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara itu.

Seterusnya Pyongyang menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu dan Malaysia juga mengambil tindak balas yang sama terhadap warga Korea Utara di negara ini.- Bernama

The post Isu Korea Utara: MKN adakan mesyuarat tergempar petang ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?