Jangan sesekali ‘jual agama’ kerana dunia!

Oleh Mohamad Nor Fakihin Aqsa bin Mohd Nor Azam

KOTA SAMARAHAN, 14 Mac – Masalah umat Islam akhir zaman hari ini adalah wujud sesetengah pihak mempergunakan agamanya sendiri untuk meraih keuntungan perniagaan dan memperlakukan Islam sebagai pelaris jualan.

Ahli Jawatankuasa Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS), Ustaz Suhail bin Sufian berkata penjual agama akan jadi lebih ‘alim’ bukan kerana kecintaannya kepada Islam, tetapi kerana menggunakan agama bagi memperoleh habuan dunia yang lumayan contohnya mempengaruhi orang ramai membeli produk perniagaannya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah ceramah bertajuk Cabaran Umat Akhir Zaman anjuran Isma cawangan Kota Samarahan dengan kerjasama AJK Masjid Kg Sindang baru-baru ini.

 

“Kita dapat melihat sesetengah penjual agama hari ini akan mempromosikan produk perniagaannya dan bersungguh-sungguh mengatakan produknya telah dibacakan 30 juzuk Al-Quran bagi menarik perhatian pelanggan. Padahal jika diselidik, dia tak membaca pun 30 juzuk Al-Quran dalam setiap produknya apatah lagi memahami dan beramal dengan isi kandungan ayat. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan, tidak pun dilakukannya!

Beliau juga turut menyentuh berkenaan dengan Valet Doa kerana eksploitasi tersebut jelas memberi gambaran yang memalukan kepada Islam sehingga menjadikan doa sebagai bahan perniagaan dan merupakan salah satu cabaran umat akhir zaman.

“Valet doa ini jelas berlanggar dengan syariat. Sampaikan doa pun mahu buat pakej berniaga dan inilah nabi telah pesan kepada kita, pada akhir zaman akan muncul golongan-golongan penjual agama yang berselindung di sebalik watak zuhud, pak ustaz dan seumpamanya”

Diakhir ceramah berikut, Ustaz Suhail Sufian mengingatkan hadirin supaya kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dengan berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah.

“Kita sebagai umat Islam, tuntutlah ilmu dan hidupkan hati yang ikhlas kerana Allah SWT dalam setiap perbuatan kita di dunia. Islam bukan alat dipergunakan, tapi Islam adalah matlamat dan cara hidup yang dituju. Sanggupkah kita mengaku dihadapan Allah dengan perbuatan kita menjual agama untuk habuan dunia? Nauzubillah,”katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?