Menteri minta rakyat bersyukur, harga gula masih murah berbanding negara luar
KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur dengan kenaikan harga gula yang tidak begitu membebankan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata, meskipun gula mentah diimport, tetapi harga di pasaran tempatan masih rendah berbanding Thailand, negara yang menjadi salah satu sumber utama gula bertapis bagi Malaysia.
“Sepatutnya rakyat Malaysia ucap terima kasih kepada saya daripada menyalahkan saya.
“Kita import lebih daripada 50 peratus daripada Thailand namun harga jualan kita lebih rendah berbanding Thailand, iaitu RM3.20 (sekilogram).
“Maknanya Malaysia merupakan satu negara yang kerajaannya benar-benar mengambil kira semua perkara dan mempertimbangkannya,” katanya yang dipetik portal liberal, semalam.
Berkuatkuasa 1 Mac, kerajaan mengumumkan harga baru gula pasir putih bertapis kasar meningkat daripada RM2.84 sekilogram kepada RM2.95 sekilogram.
Jelas Zainuddin, antara sebab utama kenaikan ini adalah kerana kebergantungan bekalan gula 100 peratus daripada luar.
“Punca utama naik adalah kerana kenaikan harga gula mentah di pasaran dunia.
“Ditambah lagi dengan penurunan mata wang serta dengan kenaikan harga mentah ini membuatkan kami tiada pilihan lain untuk menaikkan harga,” katanya.
Beliau juga berkata, setakat ini tiada kesan besar mengenai kenaikan harga ini pada pengguna serta menggalakkan rakyat menyahut cadangan World Health Organisation (WHO).
“Seperti yang dicadangkan oleh WHO di mana rakyat digalakkan untuk mengurangkan penggunaan gula sebanyak 9kg satu individu maka ia tidak memberikan kesan yang besar.
“Selain itu, jika ada kaedah lain seperti penggunaan gula stivia yang boleh digunakan adalah lebih baik,” katanya lagi.
The post Menteri minta rakyat bersyukur, harga gula masih murah berbanding negara luar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan