Mukhriz sedia sumbang RM1 bilion jika Haris berjaya bukti tuduhan
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 28 Jamadilalhir 1438H, Isnin – Datuk Seri Mukhriz Mahathir sedia menyumbang RM1 bilion untuk pembangunan di Jerlun dan Pokok Sena jika bekas pembantunya, Haris Che Mat berjaya membuktikan tuduhan beliau sebelum ini.
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu berkata, Haris juga perlu menyumbang sejumlah wang yang sama sekiranya beliau gagal membuktikan dakwaan berhubung keupayaan Mukhriz menjadi jutawan dalam masa singkat.
Mukhriz dalam satu kenyataan berkata, sewaktu dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 2009 dan Menteri Besar Kedah, beliau telah mengisytiharkan harta dan aset yang dimilikinya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Tentunya PM masih ada senarai tersebut. Saya mencabar Haris Che Mat untuk membuktikan bahawa saya mempunyai RM1 bilion diluar senarai yang telah saya isytiharkan itu.
“Jika Haris berjaya membuktikannya, saya akan menyumbang RM500 juta untuk pembangunan sekitar Jerlun, dan RM500 juta lagi untuk Pokok Sena.
“Jika Haris gagal membuktikannya, Haris pula yang perlu menyumbang jumlah yang sama kepada pembangunan di Jerlun dan Pokok Sena,” katanya.
Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mencabar bekas Pegawai Khasnya itu untuk menerangkan kepada rakyat mengenai bagaimana anak tiri Najib, Riza Aziz mendapat kekayaan dalam menerbitkan filem dan membayar hutang judi di Las Vegas.
“Saya juga mencabar Haris untuk menerangkan kepada Rakyat bagaimana Riza Aziz, anak tiri Najib Razak dan anak kandung Rosmah Mansor mendapat kekayaannya untuk membikin filem lucah Wolf of Wall Street yang memakan belanja US$100 juta dan membayar hutang judi US$13 juta di pusat perjudian Las Vegas,” katanya.
Sebelum ini, Haris yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Pokok Sena, mencabar bekas majikannya untuk berdebat bagi menjelaskan keupayaannya menjadi jutawan dalam masa singkat.
Cabaran itu disambut baik oleh Mukhriz yang bersedia berdebat secara terbuka dengan Haris, sekaligus mencadangkan 29 Mac sebagai tarikh perbahasan itu diadakan.
Bagaimanapun, Haris sebelum ini dilaporkan berkemungkinan akan menangguh program debat itu pada 1 April depan selepas mendakwa mengalami masalah kesihatan.
“Semoga Haris segera sihat dari sakit misteri yang muncul secara tiba2 kebelakangan ini. Bila hendak jawab soalan yang saya kemukakan sebelum ini? Berani kerana benar!,” kata Mukhriz.
The post Mukhriz sedia sumbang RM1 bilion jika Haris berjaya bukti tuduhan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan