Penentang RUU 355 bersikap Islamophobia melampau, kata Hadi Awang
KUALA LUMPUR, 13 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mereka yang menentang Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), memiliki sikap Islamophobia yang melampau.
Katanya, golongan itu berasa fobia terhadap Islam sehingga sanggup menentang pindaan akta berkenaan secara membuta tuli, sedangkan pindaan itu bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Sebut Islam nak lawan… ini sudah tidak betul…fikir cara tak betul semata-mata fobia.. Islamophobia.. ini sebenarnya, sehingga sikap benci terhadap Islam itu sendiri,” katanya pada sesi dialog majlis Makan Malam dan Dialog Politik Bersama Presiden PAS di sini, malam tadi.
Beliau berkata, RUU 355 adalah isu kecil sahaja kerana ia bukan hukum hudud atau qisas, walaupun sebahagian hukum takzir seperti sebat boleh dilaksanakan.
“Malangnya mereka yang menentang 355 tak rasional, tak fikir secara matang.. 355 ni bukan hukum hudud, bukan qisas. Hukum hudud bidang kuasa negeri masing-masing, terpulang kepada negeri,” katanya.
Abdul Hadi berkata, RUU 355 bertujuan membolehkan negeri-negeri melaksanakan sebahagian hukum Islam, yang mana hukum qisas dan hudud yang besar masih tidak boleh dilaksanakan kerana ada halangan tertentu.
“Tetapi sebahagian hukum takzir iaitu hukuman sebat. Diperkenalkan hukuman sebat dalam Islam yang berbeza dengan hukum sebab dalam undang-undang yang ada pada hari ini.
“Hari ini sebat sampai nak mati.. pecah kulit daging, pengsan. Sebatan dalam Islam adalah sebatan untuk mendidik bukan untuk mendera. Dipukul di khalayak, bukan untuk menyakitkan.
“Sepatutnya banyak mengenai Islam ini kita kena tahu. Malangnya 355 dipertikaikan hanya kerana hendak menaikkan taraf Mahkamah Syariah. Ini sudah melampau… ini sudah tidak rasional berfikir,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Hadi mengajak semua pihak mengambil petunjuk daripada al-Quran.
“Al-Quran adalah petunjuk daripada Allah kepada seluruh manusia hingga Hari Kiamat. Petunjuk dalam semua urusan manusia. Bukan sahaja dalam perkara ibadah, hubungan dengan Allah, termasuk juga dalam perkara kehidupan manusia yang berkait dengan manusia, keluarga, jiran, masyarakat sama ada manusia yang Islam atau bukan Islam.
“Kita diwajibkan mengajak mereka kepada Islam sama ada mereka masuk Islam atau menerima pemerintahan Islam yang adil terhadap semua,” katanya.
The post Penentang RUU 355 bersikap Islamophobia melampau, kata Hadi Awang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan