Pengasas Valet Doa akur arahan tutup
KUALA LUMPUR, 2 Rejab 1438H, Khamis – Pengasas Valet Doa, Hasrin Harin, 40, akur dengan arahan pemberhentian operasi laman Facebook, Valet Doa.
Bagaimanapun, Hasrin masih menunggu hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas operasi perkhidmatannya yang dilakukan sejak awal bulan ini.
Hasrin turut berharap agar JAIS dan pihak berkaitan memberikan penjelasan terperinci mengenai arahan penutupan laman FB berkenaan.
“Sebelum itu, JAIS bertemu dengan saya untuk melakukan siasatan berhubung aduan awam mengenai perkhidmatan Valet Doa.
“Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang keputusan hasil siasatan berkenaan,” katanya yang dipetik daripada myMetro.
Mengulas berkenaan perniagaan doanya yang mencetus kontroversi itu, Hasrin berkata, pihaknya tidak pernah memberi jaminan semua doa yang dibacakannya termakbul.
“Sebaliknya, saya memberi jaminan semua doa dikirim dibacakan di hadapan Kaabah.
“Selain itu, saya hanya menyiarkan mengenai cara atau masa doa dimakbulkan Allah berdasarkan apa disebut Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya,” katanya.
Menurutnya, fakta itu disalah tafsir orang ramai termasuk beberapa mufti sehingga menimbulkan tanggapan salah mengenai perkhidmatan Valet Doa.
Akhir bulan lalu, Hasrin menegaskan akan meneruskan perkhidmatan Valet Doa di samping melakukan beberapa perubahan termasuk berkaitan iklan bagi mengelakkan salah faham.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan JAIS dan Jabatan Mufti Selangor mengarahkan operasi laman Facebook Valet Doa dihentikan ketika menjawab pertanyaan soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang), di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau akaun FB pengasas Valet Doa dalam membasmi aktiviti yang boleh menjejaskan kesucian umat Islam selain menimbulkan kesan negatif, salah faham dan boleh merosakkan akidah.
The post Pengasas Valet Doa akur arahan tutup appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan