Wisma Putra tolak laporan Malaysia langgar sekatan PBB
KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1438H, Sabtu – Malaysia menolak dakwaan telah melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Korea Utara.
“Malaysia secara mutlak menolak sebarang sindiran itu,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Malaysia telah menyediakan jawapan yang diperlukan bagi pertanyaan yang dikemukakan oleh Panel Pakar Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan akan memberikan kerjasama penuh.
Laporan Reuters sebelum ini menyatakan bahawa dua firma yang mempunyai kaitan dengan Korea Utara telah menjalankan aktiviti rangkaian senjata di negara ini.
Dalam laporannya agensi itu mendakwa, Glocom dikendalikan ejen perisikan Korea Utara telah menjual peralatan radio tempur melalui International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd.
Turut dilaporkan, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi tentera dan separa tentera di laman web miliknya di Malaysia, glocom.com.my.
Susulan itu, Reuters yang memetik laporan Majlis Keselamatan PBB mendakwa, urus niaga syarikat itu telah melanggar sekatan PBB.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan syarikat itu kononnya dikawal ejen perisikan Korea Utara dengan nama Glocom.
Khalid memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua syarikat itu kini dalam proses untuk ditutup.
The post Wisma Putra tolak laporan Malaysia langgar sekatan PBB appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan