Pembunuhan Jong-nam: Bukit Aman tiada bukti kukuh tahan tiga rakyat Korea Utara
KUALA LUMPUR, 4 Rejab 1438H, Sabtu – Bukit Aman tidak mempunyai bukti kukuh untuk menahan tiga rakyat Korea Utara yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan Kim Jong-nam pada 13 Februari lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah mengambil keterangan Setiausaha Kedutaan Korea Utara, Hyon Kwang-lagu, 44, pekerja Air Koryo, Kim Uk-il, 37 dan Ri Ji-u atau James di bangunan Kedutaan Korea Utara sebelum mereka berlepas ke negara asal semalam.
“Kita tidak mempunyai bukti kukuh untuk menangkap mereka. Mereka hanya dipanggil untuk memberi keterangan membantu siasatan kes pembunuhan itu sebelum dibenar pulang,” katanya kepada pemberita, semalam.
Bagaimanapun katanya, polis masih menunggu kerjasama Korea Utara untuk menyerahkan empat lelaki dipercayai melarikan diri ke negara itu.
Khalid berkata, polis belum menutup siasatan berhubung pembunuhan berprofil tinggi abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa pihak polis tidak akan menutup kes pembunuhan ini selagi kita tidak mengambil keterangan daripada empat suspek.
“Setakat ini tiada sebarang jawapan dari Korea Utara terhadap keempat-empat suspek itu,” katanya.
The post Pembunuhan Jong-nam: Bukit Aman tiada bukti kukuh tahan tiga rakyat Korea Utara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan