Agong ucap selamat jalan kepada jemaah haji

Sumber foto: BNBBC

PETALING JAYA, 4 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Kompleks Tabung Haji (TH) Kelana Jaya, di sini malam ini untuk mengucapkan selamat jalan kepada lebih 470 jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci.

Seri Paduka Baginda tiba di kompleks berkenaan pada pukul 9.30 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir adalah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussen Qattan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada majlis itu, Sultan Muhammad V bersalaman sambil mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji KT10 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8014 pada pukul 1.35 pagi ini.

Bagi memberkati perjalanan para jemaah haji, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membacakan doa memohon keselamatan dan dipermudahkan segala urusan ibadah mereka.

Laungan azan oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki sebagai simbolik memuji kebesaran Allah yang menerima kumpulan berkenaan sebagai ‘tetamu-Nya’.

Terdahulu, Jamil Khir dalam ucapannya pada majlis berkenaan meminta para jemaah haji supaya sentiasa menuruti aktiviti dan program yang telah diatur oleh TH.

“Sampai di sana, laksanakan ibadah dengan penuh ikhlas dan serahkan diri sepenuhnya apabila bermula laungan ‘Labaikallah Humalabbaik’. Jangan terlibat dengan mana-mana program atau penganjuran aktiviti yang tiada kena mengena dengan yang ditentukan TH. Tumpukan pada ibadah,” katanya.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini, dan 5,200 jemaah telah mula tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat sejak Isnin lepas. – Bernama

The post Agong ucap selamat jalan kepada jemaah haji appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?