Aman Palestin lancar tabung bantu rakyat Palestin di Masjidil Aqsa
BANGI, 27 Syawal 1438H, Jumaat – Aman Palestin Berhad mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan berterusan Zionis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa sehingga ke hari ini, termasuk mengenakan peraturan ketat terhadap umat Islam yang hendak menunaikan ibadah di dalam Masjidil Aqsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Ustaz Awang Suffian Awang Piut menyifatkan tindakan rejim Israel ke atas umat Islam Palestin sebagai tidak berperikemanusiaan dan mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Katanya, kemarahan umat Islam juga semakin bertambah rentetan pencerobohan 70 pendatang haram Yahudi Zionis ke perkarangan Masjid Al- Aqsa melalui pintu Al Magharibeh sehingga menyebabkan kematian tiga warga Palestin.
“Bukan setakat itu sahaja, umat Islam di sana telah dilarang untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan untuk melaungkan azan dan solat berjemaah di masjid itu selama beberapa hari.
“Yahudi Zionis juga dengan biadapnya mengenakan prosedur yang lebih ketat lagi ke atas warga Palestin untuk memasuki Masjid Al-Aqsa dengan memasang pagar-pagar elektronik yang dilengkapi alat pengesan metal.
“Tindakan ini mengundang kemarahan seluruh umat Islam kerana Israel secara jelasnya telah melanggar hak kebebasan untuk beribadah di masjid yang dimiliki oleh umat Islam sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, katanya, Aman Palestin Berhad melancarkan Kempen Aqsa Solidariti Ummah #denganjiwa #dengandarahkami bagi menyeru seluruh umat Islam untuk mempertahankan maruah dan kesucian Al-Aqsa daripada terus dicabuli oleh rejim Zionis.
Ustaz Awang Suffian berkata, kempen ini akan digempurkan dengan pelbagai medium seperti alam maya, radio, televisyen dan penganjuran beberapa siri jelajah bagi memberi kesedaran serta membangkitkan rasa tanggungjawab kepada umat Islam ke atas apa yang sedang berlaku ke atas Masjid Al-Aqsa.
“Kempen Aqsa Solidariti Ummah ini juga dijangka berada di kemuncaknya pada 5 Ogos 2017 di Dataran Perbadanan Putrajaya, Presint 3 dengan mengalu-alukan kedatangan semua rakyat Malaysia untuk berhimpun dan bersama-sama dalam memberi sokongan kepada Aman Palestin untuk memperjuangkan isu ini,” katanya.
Bersempena musibah yang melanda Masjid Al-Aqsa ini, katanya, Aman Palestin turut melancarkan Kempen Jom Menyumbang RM50 untuk tujuan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Jom Menyumbang RM50 ini menyasarkan penyertaan sumbangan oleh 1.8 juta rakyat Malaysia, dan akan disalurkan untuk menampung kos sara hidup kepada kumpulan-kumpulan Murabbitin (rakyat Palestin yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa), membayar gaji kepada penjaga-penjaga Masjid Al-Aqsa serta menampung pembayaran cukai pintu yang sangat tinggi yang dikenakan oleh pihak Zionis ke atas warga Palestin yang tinggal di sekitar Baitul Maqdis.
“Justeru, Aman Palestin merayu dan menyeru kepada semua lapisan masyarakat, rakan-rakan wartawan untuk bersama-sama kami dalam memperjuangkan isu akidah dan maruah umat Islam ini.
“Kami juga menyeru kepada semua untuk turut bersama-sama berhimpun secara aman di Dataran Perbadanan Putrajaya Presint 3 pada 5hb Ogos 2017 bermula dari pukul 4.45pm bagi memberi sokongan dan solidariti kepada Masjid Al Aqsa dalam kempen Aqsa Solidariti Ummah #denganjiwa #dengandarahkami,” katanya.
Di antara pengisian yang akan disajikan pada hari itu adalah tayangan video, perkongsian dari selebriti terkenal tanah air, qasidah, solat Isyak dan solat hajat perdana.
The post Aman Palestin lancar tabung bantu rakyat Palestin di Masjidil Aqsa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan