Indonesia haramkan Hizbur Tahrir
JAKARTA, 26 Syawal 1438H, Khamis – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengeluarkan perintah kepada pihak berkuasa untuk mengharamkan kumpulan Hizbut Tahrir, selepas dianggap mengancam perpaduan negara.
Status kumpulan itu, yang berkempen supaya Indonesia melaksanakan undang-undang Islam dan sistem khalifah, dibatalkan semalam bagi menjamin perpaduan nasional, kata Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman dan Hak Asasi Kemanusiaan, Freddy Hari.
Kumpulan itu mengutuk pengharaman berkenaan sambil berkata, mereka tidak akan berdiam diri dan akan mencabar keputusan itu di mahkamah.
Pengharaman itu diumumkan seminggu selepas Jokowi menandatangani perintah presiden yang memberi kebenaran dan kuasa penuh kepada pihak berkuasa untuk mengharamkan kumpulan terbabit.
Sebelum ini, beberapa negeri di Malaysia sudah mengharamkan Hizbut Tahrir yang difatwakan sebagai ajaran sesat. Umat Islam di Malaysia sama ada individu atau pertubuhan dilarang berpegang kepada fahaman serta ajaran itu kerana didapati menyelewengan dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pertubuhan itu mendakwa pemerintah, Ahli Parlimen dan ulama Islam adalah kafir yang harus diperangi kerana menerima sistem kufur, bahkan negara Islam juga semuanya kafir kerana berhukum dengan sistem itu selain haram menyertai sistem kerajaan sekarang.
Hizbut Tahrir juga menafikan istilah ‘al-qadha’ wal al-Qadar’, berpegang kepada fahaman qadariyah dan menganggap aqidah siyasiyyah lebih penting daripada ruhiyyah. Mereka menolak sumber aqidah melalui hadis ahad dan mendakwa Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul.
Pakar undang-undang Indonesia, Refly Harun ketika mengulas pengharaman itu berkata, ini adalah kali pertama dalam sejarah kerajaan reformasi, sebuah pertubuhan diharamkan tanpa mengikut proses undang-undang.
“Perintah presiden itu ibarat cek kosong kepada kerajaan untuk mengharamkan mana-mana kumpulan tanpa melalui proses undang-undang,” katanya.
Perintah itu juga dikeluarkan selepas berlaku ketegangan dan protes, khususnya yang dianjurkan Hizbur Tahrir, yang menyaksikan Gabenor Jakarta beragama Kristian, Ahok, dipenjara dua tahun kerana menghina Islam. – Agensi
The post Indonesia haramkan Hizbur Tahrir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan