Insiden Hawk 108: Laporan siasatan diketahui tiga minggu lagi
BUTTERWORTH, 6 Zulkaedah 1438H, Ahad – Laporan awal siasatan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Chukai, Terengganu pada 15 Jun lepas yang mengorbankan dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dikeluarkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata siasatan insiden itu memerlukan masa kerana pihaknya perlu menjalankan kajian serta penyelidikan secara rapi dan terperinci bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung kejadian tersebut.
“Kami telah menghantar beberapa sampel iaitu alatan pesawat berkenaan kepada syarikat pembuat pesawat tersebut untuk dibuat uji kaji dan penelitian rapi bagi menentukan punca sebenar insiden tersebut serta laporan yang saintifik daripada mereka (syarikat pembuat),” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Ulang Tahun ke-20 bagi No 18 Skuadron (pesawat FA-18D Hornet) di pangkalan udara di sini hari ini.
Dalam insiden itu, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, terkorban apabila pesawat dinaiki mereka terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
Kejadian berlaku ketika kedua-duanya menjalani latihan menggunakan pesawat itu sebelum terputus hubungan pada kira-kira 1.30 pagi. Jasad dua mangsa ditemui pada 2.30 petang hari sama, kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang.
Sementara itu, Affendi yang tiba dari Pangkalan Udara Subang pukul 11.25 pagi menaiki FA-18D Hornet dipandu Pegawai Pemerintah No 18 Skuadron Kolonel Koey Tang Chai berkata pesawat tempur berkenaan masih relevan dan diyakini boleh beroperasi sekurang-kurangnya untuk 18 tahun lagi.
“Kesemua pesawat ini telah dinaik taraf secara konsisten termasuk pemasangan sistem senjata yang baharu Joint Direct Attack Munition (JDAM) termasuk pemasangan peluru berpandu AMRAAM C7,” katanya.
Affendi berkata, pesawat tempur serbaguna buatan Amerika Syarikat itu mula digunakan pada 1997 selepas diserahkan secara rasmi kepada TUDM dan ia turut digunakan ketika operasi menangani pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
“Memang TUDM ada cadangan untuk menambah beberapa pesawat tempur termasuk FA-18D Hornet, tetapi semua itu bergantung kepada kerajaan pusat dan saya percaya mereka (kerajaan pusat) mempunyai perancangan berhubung perkara berkenaan,” katanya.
Ditanya perkembangan di Marawi, Filipina yang menyaksikan pertempuran tentera negara itu dengan pengganas yang masih berlarutan, Affendi berkata pasukan TUDM telah mengambil langkah segera dan berjaga-jaga.
“TUDM memang mempunyai pangkalan tentera di Labuan malahan kami turut mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengawal perbatasan negara termasuk pemantauan ruang udara dengan beberapa aset kita termasuk pesawat Sukhoi dan FA 18D Hornet turut ditempatkan di Labuan,” katanya.- Bernama
The post Insiden Hawk 108: Laporan siasatan diketahui tiga minggu lagi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan