Lagi kereta pandu lawan arus, lima kenderaan terbabas
BUTTERWORTH, 29 Syawal 1438H, Ahad – Lima buah kereta dilaporkan terbabas selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu secara lawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) kira-kira jam 1.30 pagi tadi
Kejadian itu turut mengakibatkan seorang pengguna lebuh raya, Naim Halidan, 30, maut akibat terjatuh ke dalam longkang selepas dia memberhentikan kenderaannya untuk menyaksikan kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, insiden itu berlaku apabila suspek yang memandu kereta jenis Volkswagen dalam perjalanan ke Sungai Petani, Kedah dari arah Butterworth berpatah balik ketika tiba di Kilometer 116, berhampiran Kepala Batas.
“Tindakan itu menyebabkan kereta mangsa pertama yang berada di belakangnya mengelak ke kanan sebelum dilanggar oleh kereta mangsa kedua lalu terbabas.
“Sejurus itu, kereta mangsa ketiga merempuh kereta kedua yang terbabas itu manakala suspek berusia 31 tahun itu terus memandu sehingga lapan kilometer sebelum bertembung dengan kereta mangsa keempat,” katanya.
Kejadian cemas itu juga telah menyebabkan kereta mangsa keempat berpusing sebelum dilanggar oleh kereta mangsa kelima yang dipandu oleh seorang guru, kata Azmi
“Lelaki yang memandu secara lawan arus itu patah tangan dan dirawat di sebuah hospital swasta. Polis akan menjalankan ujian alkohol dan dadah terhadapnya,” katanya.
Jelas Azmi, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan berbahaya.
The post Lagi kereta pandu lawan arus, lima kenderaan terbabas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan