Mohd Amar yakin rakyat Kelantan masih bersama PAS


Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

KOTA BHARU, 29 Syawal 1438H, Ahad – PAS kini bebas dalam membuat keputusan untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN atau Parlimen yang berpotensi untuk dimenangi termasuk kerusi yang disandang PKR di Pulau Pinang.

Hal ini kerana PAS tidak lagi terikat dengan PKR setelah tahaluf siasi antara dua parti itu dihentikan.

“Kita sedang membuat kajian selain daripada kerusi-kerusi tradisi, kita juga mengkaji kerusi DAP, kerusi PKR, memang kita tengok dan keputusan muktamad belum ada, tapi kalau ada kawasan yang berpotensi, dan kita rasa perlu untuk kita bertanding, kita bertanding. Tak kira kerusi Melayu di Pulau Pinang atau mana-mana.”

Demikian kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah kepada pemberita selepas tamatnya Ijtimak Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Katanya lagi, PAS meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen untuk ditandingi kerana jumlah itu mencukupi untuk menentukan pembentukan kerajaan Malaysia.

Ketika diminta mengulas mengenai usaha pakatan harapan untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berseloroh dengan berkata: “Saya rasa (pakatan harapan) tak ada harapan.”

Beliau juga yakin rakyat Kelantan masih bersama PAS.

“Insya-Allah kita yakin kita boleh bertahan. Orang nak lawan kita, kita tak boleh nak tahan. Macam saya selalu sebut, negara demokrasi. Siapa-siapa pun boleh bertanding dalam pilihan raya. Ikut lunas peraturan. Biar rakyat yang menentukan. Setakat ini kita yakin insya-Allah rakyat Kelantan masih bersama dengan PAS,” katanya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa PAS gagal menyediakan pekerjaan kepada rakyat negeri itu kerana ramai anak negeri yang keluar berhijrah ke negeri lain, Mohd Amar mempersoalkan, adakah kerajaan Malaysia gagal menyediakan peluang pekerjaan apabila ribuan rakyat menyeberangi Tambak Johor setiap hari untuk bekerja di Singapura.

“Rakyat Malaysia kerja di Singapura, berapa ribu tiap-tiap hari menyeberang ke Singapura, adakah kita kata kerajaan Malaysia gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat sehingga terpaksa menyeberang Tambak Johor?,” soalnya.

Dianggarkan lebih 100,000 penyokong PAS hadir ke ijtimak yang menampilkan pidato-pidato tokoh Islam terkemuka antaranya Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Biro Antarabangsa Hamas, Syeikh Osama Hamdan dan Presiden Parti Saadet Turki, Temel Karamollaoglu dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin.

The post Mohd Amar yakin rakyat Kelantan masih bersama PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?