Puteri Sultan Johor bakal bernikah 14 Ogos
JOHOR BAHRU, 22 Syawal 1438H, Ahad – Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, 31, bakal menamatkan zaman bujangnya pada 14 Ogos ini.
Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Tunku Puteri Johor itu bakal mendirikan rumah tangga dengan Dennis Muhammad Abdullah, 28.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi perkenan untuk Tunku Puteri Johor melangsungkan perkahwinannya,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini sebentar tadi.
Abdul Rahim berkata, istiadat perkahwinan pasangan pengantin Diraja akan dilaksanakan dengan penuh istiadat Melayu dan budaya Istana Johor.
Katanya, istiadat meletak kerja akan diadakan pada 8 Ogos ini dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan menandakan permulaan Istiadat Perkahwinan Diraja.
“Istiadat pertunangan akan diadakan jam 10 pagi pada 14 Ogos di Istana Bukit Serene, diikuti istiadat nikah manakala istiadat persandingan pada 8 malam di Bilik Singgahsana Istana Besar.
“Sultan Johor berkenan mewakilkan Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahrir Shamsuddin sebagai wali,” katanya.
Abdul Rahim berkata, majlis bersiram akan diadakan pada 15 Ogos di Bandstand Bukit Bintang, Taman Botani Diraja Istana Besar dan pasangan pengantin Diraja akan menziarah Makam Diraja Mahmoodiah pada 16 Ogos.
Katanya, majlis perkahwinan akan dilangsungkan secara tertutup.
The post Puteri Sultan Johor bakal bernikah 14 Ogos appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan