Rejim Zionis larang lelaki bawah 50 tahun solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa

Askar rejim Zionis melempar gas pemedih mata bagi menghalau warga Palestin yang berkumpul di sekitar Masjid Al-Aqsa, hari ini.

JERUSALEM, 4 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Rejim Zionis Israel sekali lagi menghalang ribuan umat Islam yang berusia di bawah 50 tahun daripada memasuki Masjidil Aqsa bagi mengerjakan solat Jumaat, hari ini, dengan alasan menjangkakan akan berlaku kekacauan.

Sambil bersiap sedia dengan ratusan anggotanya, polis rejim melakukan kawalan ketat di tanah suci ketiga umat Islam itu dengan hanya membenarkan lelaki berusia 50 tahun ke atas memasuki dan bersolat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, sehari selepas menggempur dan mencederakan lebih 100 penunjuk perasaan di luar masjid berkenaan.

Solat Jumaat biasanya menarik ribuan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa dan polis rejim mendakwa mendapat petunjuk bahawa gangguan dan demonstrasi akan berlaku hari ini.

Suasana tegang berlaku hari ini, apabila ribuan umat Islam kembali untuk memasuki tanah suci itu, selepas dua minggu memboikotnya berikutan tindakan rejim Zionis mengenakan sekatan dan kawalan, termasuk memasang alat pengesan logam serta kamera di pintu masuk dan sekitar kawasan Masjid Al-Aqsa.

Kelmarin, rejim Israel tunduk kepada desakan dengan membuka sekatan dan menanggalkan pelbagai peralatan pengawasan. Warga Palestin yang berkumpul bagi meraikan langkah itu, bagaimanapun digempur oleh askar dan polis rejim menyebabkan lebih 100 orang cedera.

“Hanya lelaki berusia di bawah 50 tahun dibenarkan masuk. Tiada sekatan terhadap wanita. Laluan di beberapa jalan sekitar tanah suci itu adalah terhad dan langkah keselamatan diambil bagi menghalang sesuatu yang boleh mencetuskan kekacauan,” kata kenyataan polis rejim.

Kira-kira 200 anggota polis rejim Israel ditempatkan di dalam tanah suci sejak malam tadi, dan mereka menghalau warga Palestin yang berada di situ hingga mencetuskan kekecohan. Sesetengah warga Palestin itu ditangkap, manakala ada yang cedera, sementara kakitangan perubatan dihalang memberi bantuan.

Persatuan Bulan Sabit Palestin semalam memberitahu, lebih 100 orang cedera di dalam tanah suci dan di kawasan bersebelahannya selepas polis rejim menggempur umat Islam yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa untuk solat Zohor – kali pertama dalam dua minggu. – Agensi

The post Rejim Zionis larang lelaki bawah 50 tahun solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?