Tatkala itu barulah anda faham apakah agenda Islam
1) INTI perbezaan yang membezakan Isma dan jamaah lain ialah manhaj islah yang dipercayai, diikuti dan dilaksanakannya dalam alam realiti. Istilah lain yang boleh digunakan ialah metodologi pengislahan atau manhaj perubahan.
2) Ia adalah persoalan matlamat perubahan yang ingin dibuat dan kaedah untuk mencapai matlamat tersebut.
3) Perbincangan mengenai manhaj islah ini adalah satu perbincangan yang panjang, lebar dan mendalam.
4) Jika kita mahu bincang pasal matlamat sahaja, ia sudah cukup untuk menghabiskan masa anda sekurang-kurangnya dua jam, jika anda sudah mempunyai aset pemikiran yang mencukupi.
5) Bahkan, penggunaan perkataan “Islah” itu sendiri perlu kepada perbincangan. Jika anda tidak bersetuju dengan penggunaan istilah itu, itu sahaja sudah cukup menjadi inti perbezaan yang umum.
6) Itu belum lagi bincang pasal kaedah dan cara untuk mencapai matlamat tersebut.
7) Status yang ringkas ini hanya membenarkan untuk saya menyenaraikan sumber rujukan yang perlu anda baca dan kaji, dengan tumpuan kajian pada aspek pengislahan dan manhajnya.
8) Anda perlu mengkaji kandungan al-Quran, Sunnah, Seerah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Fokus pada matlamat pengislahan yang hendak dicapai dan kaedah yang digunakan.
9) Anda perlu mengkaji Kulliyat as-Syariah dan ciri-ciri khususnya, serta sifat/pendekatan agama Islam ini ketika berinteraksi dengan realiti sifat manusia yang serba kekurangan.
10) Dua lapangan kajian yang pertama di atas hendak dikaji sehingga anda benar-benar ‘familiar’ dan cam akan rupa bentuk dan “tabiat” agama ini.
11) Anda perlu mengkaji sejarah bangun dan jatuhnya umat Islam, bermula dengan pengutusan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai rasul, berakhirnya dengan situasi sedekad yang lampau.
12) Anda perlu mengkaji geografi berkaitan penyebaran, kepimpinan dan pengamalan Islam, serta kesannya dalam pencapaian matlamat pengislahan dan kaedah yang digunakan untuk mencapai matlamat tersebut.
13) Anda perlu mengkaji realiti semasa; antarabangsa dan tempatan, meliputi aspek politik, ekonomi, sosial, budaya, perundangan, pendidikan, agama dan sebagainya.
14) Anda perlu mengenali secara objektif akan pelbagai puak, kelompok pemikiran, bangsa yang ada, serta pelbagai persepakatan, persaingan dan perseteruan yang mereka lakukan, tidak kira yang berkaitan mahupun tidak berkaitan dengan Islam, menguntungkan Islam mahupun yang meruntuhkan Islam.
15) Anda perlu mengkaji sistem-sistem politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan dan komunikasi yang diguna pakai di seluruh dunia pada hari ini.
16) Lima lapangan kajian kedua di atas membekalkan anda dengan pengetahuan tentang realiti yang mahu anda ubah dan islah.
17) Seterusnya ialah proses yang lebih sukar, iaitu mencantumkan dapatan daripada dua lapangan kajian yang pertama dengan dapatan daripada lima kajian yang kedua.
18) Sama seperti proses mengenal pasti hukum atas sesuatu perbuatan. Ada yang mudah, kerana kedapatan nas yang jelas, ada yang sukar kerana ketiadaan nas secara spesifik. Tetapi yang pasti, kesukaran berlipat kali ganda dan mencabar apabila anda mahu menjatuhkan hukum itu ke atas seseorang secara spesifik.
19) Sebahagian dapatan utama daripada dua lapangan kajian yang pertama ialah:
19.1) Akidah dan kepercayaan adalah asas perubahan dan pengislahan. Manakala sistem dan undang-undang adalah mengikut akidah dan kepercayaan manusia.
19.2) Tarbiyah adalah satu-satunya kaedah paling sesuai untuk mengislah manusia. Manakala kuasa dan undang-undang hanyalah membantu mengawal agar fenomena negatif dan elemen perosak kekal minima dan tidak mengganggu proses pengislahan sepanjang zaman.
19.3) Kekuatan adalah elemen penentu kemenangan, berdasarkan Sunnatullah (ketetapan Allah). Maka kebenaran tanpa kekuatan adalah sia-sia, manakala kebatilan yang kuat bermakna kerosakan yang melata.
19.4) Matlamat pengislahan ialah ketundukan total seluruh manusia kepada Allah. Ketundukan muslim melalui keimanan dan ketakwaannya. Manakala ketundukan kafir melalui keakuran kepada sistem Islam yang adil, sejahtera dan membahagiakan.
20) Saya hanya menyenaraikan sebahagian dapatan sahaja. Hakikatnya banyak lagi pelajaran pengislahan daripada dua lapangan kajian itu.
21) Manakala lima kajian kedua, dapatannya terlalu banyak. Cukuplah saya bawakan beberapa contoh sub-lapangan kajian:
21.1) Peranan Yahudi dalam menjatuhkan kepimpinan umat Islam, sejak zaman nabi-nabi sehingga ke zaman dunia moden ini.
21.2) Peranan musuh dalam selimut, serta ciri-ciri kemunafikan mereka dalam menjalankan tugas pengkhianatan.
21.3) Peranan bangsa-bangsa di dunia dan ciri-ciri mereka, dalam penyebaran, kepimpinan dan pengamalan Islam, terutamanya di alam Melayu.
21.4) Sistem demokrasi Barat dan falsafah pluralisme yang melatarinya, serta kesan negatif ke atas umat Islam; ahli politik dan rakyat awam.
21.5) Peranan budaya bangsa dalam mengekalkan identiti muslim dan kesannya ke atas kepimpinan umat.
21.6) Serangan pemikiran ke atas umat Islam dan pendidikan lapisan aristokrat bagi mewarisi pemerintahan pasca kemerdekaan.
21.7) Politik kepartian, serta peranan ideologi dan kepentingan dalam percaturan kuasa antara parti.
21.8) Pragmatisme dan tingkah laku politik melepasi sempadan akidah, prinsip dan maruah dalam mengekalkan dan menjatuhkan kuasa.
22) Itulah sekadar beberapa contoh, yang menjanjikan ratusan dapatan menarik.
23) Semua pelajaran itu diadun dan diolah dalam bentuk silibus teori dan penghayatan aktiviti amali, dalam program tarbiyah yang tersusun, syumul dan bersepadu, juga dalam program dakwah yang mencabar daya ketahanan diri dalam realiti kehidupan harian sebenar.
24) Saya pasti, walaupun anda belum mencantumkan antara dapatan dua lapangan kajian pertama dengan dapatan lima lapangan kajian kedua, anda sudah lihat dunia ini dengan sudut pandangan yang berlainan, kerana pelbagai maklumat yang anda jumpai di sepanjang kajian akan meluaskan ufuk pemikiran anda.
25) Tatkala itu baru anda faham apa itu agenda Islam.
Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Ahli majlis Syura Isma
The post Tatkala itu barulah anda faham apakah agenda Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan