Umpama wanita tua merungkai semula pintalan benangnya…

PADA zaman dahulu, pakaian diperbuat daripada pintalan benang yang dilakukan dalam tempoh masa yang panjang. Berkat kesabaran yang tinggi, pintalan benang itu akan menjadi kain dan akhirnya menjadi pakaian.

Terdapat satu perumpamaan yang disebut dalam al-Quran berkaitan dengan wanita tua di Mekah yang kerjanya memintal benang pada waktu pagi hingga petang. Dihuraikan oleh ulama, sebelum terbenam matahari, wanita itu merungkai semula pintalan benang berkenaan.

Cuba kita bayangkan, penat lelah yang dilakukan sejak waktu pagi hingga petang, akhirnya dipersiakan begitu sahaja. Begitulah keadaan wanita tua itu setiap hari.

Menurut pandangan akal yang normal, apakah persepsi kita terhadap wanita tua itu? Bodoh? Membazir masa? Gila? Mahukah kita menjadi sepertinya? Mestilah tidak, bukan?

Allah Taala menyebut dalam Surah An-Nahl, ayat 92: “Dan janganlah kalian menjadi seperti wanita yang telah merungkai satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah dia selesai memintalnya kuat teguh…”

Antara pengajaran ayat ini ialah Allah melarang kita daripada menjadi orang yang telah berusaha melakukan pelbagai ketaatan kepada Allah dan amal soleh, lalu memusnahkannya dengan melakukan maksiat yang ditegah.

Amal soleh seperti tilawah al-Quran, solat berjemaah, puasa di bulan Ramadan, semuanya telah meningkatkan iman kita dan mendekatkan hati kita kepada Allah. Seolah-olah hubungan kita telah kukuh bersama Allah.

Akan tetapi, apabila kita terleka dengan godaan dunia, terbuai dengan hasutan hawa nafsu dan bisikan syaitan, akhirnya kita sendiri yang merungkai satu persatu iman kita kepada Allah lalu jadilah kita orang yang lemah imannya yang sering mengulangi perlakuan maksiat.

Kita bertanya kepada diri kita, menurut logik akal, apakah bezanya orang yang kembali melakukan maksiat setelah melakukan ketaatan, dengan wanita tua yang merungkai semula pintalan benangnya?

Maha Suci Allah! Lihatlah betapa hebatnya perumpamaan yang dibuat supaya ia berjaya mengetuk hati-hati kita agar tidak kembali kepada maksiat setelah kita berpenat lelah dan bersungguh-sungguh beribadah di bulan Ramadan atau di bulan-bulan lain.

Abu Nizar
Ahli Isma Gombak

The post Umpama wanita tua merungkai semula pintalan benangnya… appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?