Sultan Johor arah Jainj tak berurusan lagi dengan Jakim susulan kes Zamihan

Gambar NSTP

BATU PAHAT, 24 Muharram 1439H, Sabtu – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini melarang Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) daripada berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, baginda bertitah, Jakim juga tidak perlu lagi memberi pandangan kepada negeri Johor, kerana sebagaimana umum mengetahui bahawa urusan berkaitan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri seperti yang termaktub dalam perjanjian Persekutuan.

Bertitah pada Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-17, di sini hari ini, baginda mengulas tindakan Pegawai Kader Jakim, Zamihan Mat Zin yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) yang mengkritik baginda mengenai isu dobi muslim di Muar, Johor.

“Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.

“Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain. Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak.

Baginda bertitah, apabila dikecam mengenai perkara itu, Zamihan kemudian menafikan ada menyebutnya.

“Nampaknya ustaz ini dah pandai berbohong pula, macam mana kita nak belajar dengan dia. Jangan nak temberang dengan saya, lepas ini cukuplah berceramah depan cermin sahaja untuk kenal diri sendiri.

“Kalau betul dia penceramah Jakim saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia. Selepas ini juga saya mengarahkan Jainj tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak mahu memanjangkan isu itu dan telah memaafkan Zamihan.

Rabu lalu, polis menahan Zamihan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur ketika memberi keterangan mengenai ceramahnya yang mengkritik Sultan Johor, dalam satu ceramahnya di Shah Alam, Ahad lalu. Dia direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan selama dua hari mulai Khamis.

Dalam klip video kira-kira 6 minit itu, yang tular baru-baru ini, Zamihan antara lain berkata, isu dobi mesra muslim adalah perkara kecil, tetapi bising seluruh dunia.

“Ada sultan kata dobi mesra muslim tak patut diadakan di negeri beta…ini bukan Afghanistan negeri Taliban zam zam ala kazam. Tak patut tuanku sultan cakap macam tu. Maksud dobi mesra muslim ini adalah menunjukkan orang Islam ini mementingkan nilai suci lagi menyucikan,” katanya.

Selain itu, Zamihan juga berkata, pakaian orang Islam tidak boleh bercampur dengan pakaian bukan Islam.

The post Sultan Johor arah Jainj tak berurusan lagi dengan Jakim susulan kes Zamihan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian