Etnik Rohingya kembali ke mulut harimau

COX BAZAR, 9 Rabiulawal 1439H, Selasa – Pada 23 November lalu, Dhaka dan Naypyidaw menandatangani perjanjian bagi membolehkan 600,000 etnik muslim Rohingya kembali secara sukarela ke Myanmar.

Sekali gus, menyaksikan tentera rejim Myanmar dan militan Buddha negara itu, bukan sahaja bebas daripada dipertanggungjawabkan kerana menyebabkan etnik berkenaan melarikan diri ke Bangladesh, malah bebas daripada tuduhan melakukan pembunuhan besar-besaran dan pembersihan etnik.

Berikutan itu, kerajaan Sheikh Hasina Wazed dikecam kerana ‘menjual kehormatan negara’ kepada Myanmar dalam usaha untuk mengeluarkan ribuan pelarian etnik muslim Rohingya dari Bangladesh.

“Ke mana anda menghantar etnik Rohingya ini? Mereka melarikan diri daripada cengkaman harimau kerana takut dibunuh, tetapi anda mengasak mereka kembali kepada harimau yang sama.

“Sesiapa sahaja boleh membuat anggapan bahawa kerajaan menerima sahaja apa yang dikatakan oleh Myanmar. Dengan hampir keseluruhan perkampungan telah dibakar, di mana etnik Rohingya ini akan tinggal?,” kata Setiausaha Agung Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP), Mirza Fakhrul Islam Alamgir.

Perjanjian ditandatangani oleh menteri luar Bangladesh dan Myanmar itu juga menyaksikan pejuang Rohingya dipersalahkan, berbanding askar rejim Aung San Suu Kyi yang melakukan kempen menghapuskan etnik minoriti itu.

Teks perjanjian itu juga bercanggah dengan rumusan yang dibuat oleh komuniti antarabangsa yang menyalahkan tentera rejim Myanmar kerana melakukan pembunuhan besar-beasaran.

Ketika mesyuarat kumpulan hubungan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Sheikh Hasina menyifatkan apa yang berlaku di Myanmar adalah pembersihan etnik dan menegaskan bahawa operasi tentera rejim itu menyebabkan kekacauan di negeri Rakhine.

Etnik muslim Rohingya masih lagi melarikan diri ke Bangladesh setiap hari. Walaupun, mengikut undang-undang antarabangsa pelarian Rohingya ada hak untuk pulang ke Myanmar, tiada siapa yang boleh dihalang untuk kembali bersemuka dengan penganiayaan, kata Amnesty International.

Pemantau hak asasi manusia itu juga menyifatkan adalah sesuatu yang tidak realistik apabila mendesak pihak yang melarikan diri daripada sesuatu ancaman kembali berdepan dengan ancaman itu. – Agensi

The post Etnik Rohingya kembali ke mulut harimau appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian