Kementerian Kesihatan tegah penjualan rokok ‘Kiddie Pack’

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1439H, Khamis – Kementerian Kesihatan hari ini sekali lagi menegaskan tidak akan sesekali menyokong langkah penjualan rokok ‘kiddie pack’ atau pek mini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata penjualan rokok “kiddie pack” yang mengandungi kuantiti kurang daripada 20 batang dan lebih murah hanya akan menarik lebih ramai perokok terutamanya remaja.

“Kementerian memandang serius amalan merokok di negara ini yang merupakan faktor risiko kepada pelbagai masalah kesihatan dan kematian pra-matang.

“Larangan penjualan rokok ‘kiddie pack’ adalah untuk membendung masalah penggunaan rokok dalam kalangan remaja,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) berhubung perkara tersebut pada sesi soal jawab.

Dr Hilmi berkata, negara ASEAN lain juga mengambil langkah melarang pembungkusan rokok dalam pek mini dan sehingga kini hanya empat negara di rantau ini masih belum melaksanakan kawalan tersebut iaitu Thailand, Myanmar, Filipina dan Indonesia.

Menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) mengenai keberkesanan penguatkuasaan larangan merokok dalam kalangan remaja, Dr Hilmi berkata satu cadangan untuk mewujudkan undang-undang baharu berkaitan produk tembakau kini sedang diteliti Jabatan Peguam Negara (AG).

Beliau berkata, cadangan menaikkan had umur membeli dan menjual rokok dari 18 kepada 21 tahun akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat penelitian daripada AG. – Bernama

The post Kementerian Kesihatan tegah penjualan rokok ‘Kiddie Pack’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian