Kos sara hidup antara faktor sertai skim cepat kaya

SHAH ALAM, 27 Safar 1439H, Khamis – Tekanan kos sara hidup semakin meningkat dipercayai antara punca sesetengah rakyat terutama golongan pekerja yang memiliki caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mudah terpedaya menyertai pelbagai skim pelaburan tidak sah atau diragui statusnya.

Seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Azrul, 33, berkata pencarum adalah golongan sasar paling mudah untuk didekati dan akhirnya terjebak dengan skim pelaburan yang kononnya memberi pulangan lumayan kepada mereka.

Petugas sebuah agensi kerajaan di Sepang itu mengakui beliau antara mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan yang diragui statusnya sehingga kerugian kira-kira RM5,000, tiga tahun lepas.

“Jika dilihat pendekatan yang digunakan, mereka ini memang menyasarkan pencarum sebab kita memang ada simpanan (wang) dalam KWSP. Sebagai penjawat awam pula, selepas kita disahkan dalam perkhidmatan kita mudah membuat pengeluaran wang daripada KWSP dan kemudahan ini yang telah saya gunakan,” katanya kepada Bernama.

Azrul berkata, akibat terpedaya dengan skim pelaburan yang kononnya menawarkan pulangan 2 kali ganda daripada modal dikeluarkan, beliau mengambil jalan mudah mengeluarkan wang simpanan daripada akaun KWSP miliknya.

Bermodalkan RM5,000 wang KWSP, beliau memberanikan diri melabur dalam skim pelaburan yang diperkenalkan oleh rakannya.

“Gaji saya sebagai penjawat awam tidak besar, waktu itu memang terfikir mahu cari duit lebih sebab nak bayar sewa rumah, makan dan minum, minyak motor selain ingin berkahwin. Bila tengok rakan bercerita dan dia turut serta melabur, kita jadi yakin dengan skim pelaburan tersebut.

Malangnya, duit itu walaupun tidak banyak, ia hangus macam itu sahaja, syarikat pelaburan itu tutup dan ejennya menghilangkan diri. Dari situ saya dan rakan sedar kami ditipu, terkilan sangat rasanya sebab saya guna simpanan KWSP untuk buat pelaburan sia-sia,” katanya.

Seorang lagi pencarum yang hanya mahu dikenali sebagai Nurfadzilah, 34, berkata ada dalam kalangan pencarum KWSP, khususnya orang muda, ghairah membuat pelaburan menggunakan wang KWSP bagi menjana pulangan menguntungkan.

“Kejadian ini berlaku kira-kira 6 tahun lepas, yang waktu itu skim pelaburan berbentuk MLM (Multi Level Marketing) memang terkenal di Lembah Klang. Saya nyaris membayar sejumlah wang daripada akaun KWSP kepada mereka akibat terpedaya dengan cara hidup mewah ahli skim berkenaan,” katanya yang bekerja sebagai pereka grafik di sebuah agensi swasta.

Menurut wanita itu, rancangan menyertai skim pelaburan berkenaan tertangguh akibat wang KWSP miliknya tidak dapat dikeluarkan kerana tidak memenuhi syarat pengeluaran.

“Ejen (pelaburan) meminta sejumlah wang dan mahu saya membayar segera kepada mereka mengikut tarikh ditetapkan sekiranya saya mahu mendapat duit hasil pelaburan berkenaan.

“Namun, duit KWSP saya tidak dapat dikeluarkan mengikut tempoh yang mereka mahu. Saya kemudian mendapat tahu syarikat yang memperkenalkan skim pelaburan itu diserbu polis disebabkan aduan daripada orang ramai yang gagal memperoleh pulangan wang pelaburan mereka semula selain wang modal pelaburan lesap,” katanya.

Sementara itu, perunding unit amanah (UTC) dari sebuah agensi, Mohd Azmer Md Zainol mengingatkan pencarum supaya sentiasa menyemak senarai setiap agensi kewangan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) atau pihak berkaitan sebelum membuat sebarang pelaburan.

Beliau berkata, pencarum perlu mencari atau mengetahui saluran pelaburan yang dibenarkan contohnya syarikat pengurusan dana dipanggil Syarikat Pengurusan Unit Amanah (UTMC).

“UTMC ini dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, dibenarkan beroperasi oleh BNM dan Kementerian Kewangan selain wang pelaburan kita akan dilindungi serta dijamin oleh Pemegang Amanah (Trustee) yang dilantik UTMC,” katanya.

Menurut beliau, selain memilih syarikat kewangan yang sah atau berdaftar, pencarum juga perlu mengambil beberapa langkah sebelum membuat sebarang pelaburan seperti membuat kajian dan mengetahui serba sedikit tentang prestasi kewangan sesebuah syarikat pelaburan.

Mohd Azmer menjelaskan pencarum perlu memastikan tujuan sebenar pelaburan dilakukan kerana mereka juga berdepan dengan pelbagai risiko dalam pelaburan.

“Setiap pelaburan itu mengambil tempoh tertentu untuk kita mendapat kembali pulangan wang atau keuntungan, ia bukan sekelip mata seperti mana yang dijanjikan menerusi skim cepat kaya,” katanya. – Bernama

The post Kos sara hidup antara faktor sertai skim cepat kaya appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian