Mangsa banjir dapatkan semula sijil peperiksaan secara percuma

PUTRAJAYA, 25 Safar 1439H, Selasa – Kementerian Pendidikan bersetuju mengecualikan bayaran kepada mangsa banjir yang mahu mendapatkan semula salinan asal sijil peperiksaan yang hilang atau rosak akibat bencana itu, kata Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Namun, katanya, mereka yang terjejas perlu menunjukkan bukti bahawa mereka tersenarai sebagai mangsa banjir sebelum membuat permohonan semula salinan keputusan peperiksaan.

“Tunjukkan bukti terlibat dalam banjir yang melanda baru-baru ini. Bagi mereka yang mengambil peperiksaan selepas tahun 2000, boleh mendapatkan sijil salinan dalam tempoh satu jam, manakala yang lain, ia akan mengambil seminggu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia di sini hari ini.

Mahdzir berkata mangsa banjir boleh mendapat sijil melalui kaunter Lembaga Peperiksaan atau memuat turun borang permohonan dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan, dan mereka akan dikecualikan daripada membayar RM30 bagi setiap sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala RM50 untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Ditanya sama ada pihak kementerian menerima apa-apa aduan daripada ibu bapa mengenai soalan peperiksaan SPM, Mahdzir berkata:

“Setakat ini, kami tidak menerima apa-apa aduan rasmi mengenai soalan SPM terutamanya Bahasa Inggeris.

“Sebenarnya, kita ada panel peperiksaan untuk melihat setiap subjek dan soalan-soalan yang disediakan itu. Panel akan membuat penilaian untuk menentukan soalan mana yang akan diletakkan di dalam SPM.

“Jadi, panel telah membuat pertimbangan. Ibu bapa yang tidak berpuas hati boleh datang berjumpa dengan pegawai pendidikan negeri bahagian peperiksaan untuk mendapatkan penerangan lanjutan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Mahdzir menasihatkan 500,000 kakitangan kementerian di seluruh negara agar meletakkan integriti sebagai agenda utama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai dengan cekap, teratur, telus dan memberi ‘nilai terbaik untuk wang’.

Beliau berkata, elemen intergriti dalam kalangan penjawat awam bukan hanya tertumpu pada rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa, tetapi juga merangkumi kecuaian, kelemahan tadbir urus pengurusan kewangan, isu pelanggaran disiplin seperti tidak hadir bertugas dan tidak melaksanakan tugas.

“Kementerian telah mengendalikan 3,450 kes semenjak tahun 2010 hingga Okt ini di atas pelbagai kategori kesalahan. Kes-kes berkaitan kesalahan tidak hadir bertugas mencatat bilangan tertinggi dalam kalangan kakitangan kementerian iaitu 1,912 kes sejak 2010 hingga Oktober ini,” katanya.

The post Mangsa banjir dapatkan semula sijil peperiksaan secara percuma appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian