Maulidur Rasul: Fahami Sunnah Secara Holistik
Dalam memperingati peristiwa
kelahiran junjungan Nabi s.a.w., umat Islam seharusnya mengambil sikap yang
saya panggil sebagai "celik sunnah", iaitu dengan memahaminya secara
holistik.
Menghayati sunnah Rasulullah s.a.w.
mempunyai gelinciran yang merbahaya. Amat mudah untuk seseorang itu untuk
terperangkap dengan beberapa dan mungkin satu aspek sunnah sahaja sedangkan
sunnah itu luas. Kita perlu faham bahawa binaan Islam itu luas dan holistik
dari segenap sudut dan begitu juga sunnah Rasulullah s.a.w. Tanpa pendekatan
untuk memahami sunnah secara menyeluruh, kita terdedah untuk terperosok masuk
ke ruang lingkup yang sempit.
As-syeikh Muhammad Al-Ghazali
rahimahullah pernah mengingatkan kita,"Penyusunan hadis-hadis secara
ilmiah, seperti yang telah dikarang dan diterima oleh kita, memuatkan
hadis-hadis keimanan dalam satu bab, hadis-hadis tentang kehakiman dalam satu
bab lain pula dan begitulah seterusnya.
Oleh kerana Islam merupakan
gabungan kesemua perkara di atas, maka sunnah seumpama sebuah gedung perniagaan
yang besar bagi menjual pakaian. Segala jenis pakaian diletakkan di
bahagian-bahagian yang berasingan. Di sini tudung kepala, di sana seluar, di
sana baju, di sini pula pakaian labuh dan begitulah seterusnya.
Secara logiknya, sesiapa yang
mahukan sepasang pakaian yang lengkap, perlu melalui semua bahagian tersebut,
untuk mengambil pakaian yang menutup setiap bahagian badannya, daripada kepala
hingga ke kaki.
Tetapi yang kerapkali berlaku
adalah kamu melihat ada orang membeli dua biji kopiah atau songkok, lalu keluar
dari gedung pakaian itu dengan berkaki ayam. Kamu juga melihat ada orang
membeli sehelai sapu tangan, lalu keluar tanpa berpakaian.
Sesungguhnya inilah perumpamaan
beberapa golongan yang sibuk dengan sunnah. Tetapi, setelah pusing ke sana ke
mari, mereka keluar kepada orang ramai dalam keadaan mengamalkan sebahagian
sunnah sahaja, dengan memegang kayu sugi di tangan dan memakai serban tanpa
ekor yang mereka anggap sebagai syiar Islam.
Rahsia kesilapan ini ialah mereka
telah masuk ke sebuah pameran mega. Kemudian mereka keluar setelah menyangka
bahawa agama seluruhnya ada dalam satu hadis atau sunnah tertentu. Mereka
sebenarnya telah melakukan keburukan terhadap Al-Quran dan sunnah secara serentak."
Kita perlu sedar para ulama hadis
mengumpul ribuan hadis dengan susunan bab. Ibnu Hazm dikatakan meriwayatkan
seribu mukasurat hadis tentang wuduk. Sesiapa yang boleh mendapatkan ilmu
seperti ini, tetapi menyibukkan masyarakat awam dengan ilmu secara ini boleh
memerangkap mereka dengan kefahaman yang sempit. Mereka hanya sibuk soal
tersebut tanpa mempeduli binaan Islam yang sempurna. Maka jadilah umpama si
buta dan gajah, apabila si buta memegang belalai gajah, maka kata lah dia gajah
ini seperti batang paip yang panjang, dan apabila si buta memegang telinga
gajah, maka kata lah ia gajah ini seperti daun kipas yang besar.
Lantaran itu sunnah perlu
dihayati dan difahami dalam kerangka Islam yang holistic, barulah kita tidak
terperangkap dengan sunnah yang sempit. Akhir kalam, selamat menyambut maulidur rasul kepada semua umat Islam, semoga kita lebih menghayati perjuangan baginda seperti mana yang sepatutnya.
Ustaz Engku Omar Amiruddin bin Engku Ali
Ketua Biro Tarbiyah ISMA Kuala Terengganu
Ulasan
Catat Ulasan