Pengumuman PPSR, termasuk keputusan UPSR 2017 Khamis ini

PUTRAJAYA, 2 Rabiulawal 1439H, Selasa – Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang akan diumumkan Khamis ini (23 November) akan mengandungi empat komponen termasuk keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017.

Berbeza daripada tahun sebelum ini, yang mana hanya keputusan UPSR yang menjadi tumpuan, PPSR akan turut melibatkan tiga komponen penting lain iaitu pentaksiran bilik darjah; pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, apabila ibu bapa ke sekolah untuk mengambil keputusan anak, mereka akan mendapat keputusan bagi empat komponen berkenaan dan bukan hanya bilangan A diperolehi dalam UPSR.

“Ia umpama hari kad laporan, mereka akan dapat empat keputusan dan melihat kecenderungan serta prestasi anak-anak mereka,” katanya dalam taklimat media mengenai PPSR, di sini hari ini.

Beliau berkata, memandangkan PPSR itu tidak hanya tertumpu kepada keputusan akademik UPSR sebagai pengukur kecemerlangan, tidak ada lagi kedudukan dan perbandingan dibuat di peringkat sekolah dan negeri selepas ini.

“Dulunya kita akan mengumumkan berapa ramai pelajar dapat semua A, sekolah paling banyak semua A dan kita akan bandingkan sekolah serta negeri,”katanya.

Amin berkata, pada 23 November itu, beliau akan mengumumkan keputusan PPSR peringkat kebangsaan berdasarkan pencapaian minima yang perlu dicapai pelajar dalam setiap komponen.

Beliau memberikan contoh seperti pertandingan di sekolah dalam acara lompat tinggi apabila setiap murid menyumbang mata kepada rumah sukan masing-masing setelah melepasi had ketinggian paling minima.

“Contoh had ketinggian minima yang ditetapkan ialah tiga bar dan untuk menyumbang mata mereka perlu melepasi tiga bar itu. Kalau ada yang lebih hebat dan mempunyai keupayaan melompat enam bar, mereka boleh dilatih untuk ke peringkat (sukan) yang lebih tinggi,”katanya.

Ditanya apakah kriteria untuk memilih pelajar terbaik sekolah dengan pelaksanaan PPSR itu memandangkan pencapaian akademik bukan lagi kriteria utama, Amin berkata : “Mungkin tidak ada. Ini selaras dengan nasihat menteri (Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid), semua pelajar mesti diraikan.”

Amin berkata, sudah tiba masanya, kecemerlangan murid tidak lagi hanya berdasarkan keputusan peperiksaan tetapi melihat pencapaian mereka secara holistik sebagai seorang insan.

“Kita akan tumpukan kepada kemenjadian murid. Kita kena kembalikan sistem pendidikan kita supaya menjadi pembelajaran yang menyeronokkan,”katanya.

Beliau berkata, apabila tiada perbandingan dilakukan melalui Gred Purata Sekolah (GPS) yang kebiasaanya menjadi kayu pengukur kecemerlangan guru dan sekolah, ia juga akan mengurangkan tekanan golongan pendidik.

Mengenai kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP) berikutan pelaksanaan PPSR itu, Amin berkata keputusan akademik bukan syarat utama tetapi turut melibatkan kriteria lain selain perlu menduduki peperiksaan khas.

“Tidak semestinya dapat semua A dapat ke SBP. Dua A pun boleh. Tiada A pun boleh,” katanya.- Bernama

The post Pengumuman PPSR, termasuk keputusan UPSR 2017 Khamis ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian