Cuba jual bayi kembar RM15,000: JKM, polis bertindak

PUTRAJAYA, 25 Rabiulawal 1439H, Khamis – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan segera kepada JKM berhampiran sekiranya menemui kes penjualan bayi di mana-mana laman sesawang atau media sosial untuk diambil tindakan segera.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM Mohd Fazari Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, JKM kesal atas perbuatan mengiklankan penjualan bayi di laman sesawang jual beli popular baru-baru ini.

“Aduan daripada seorang aktivis sosial melalui telefon mengenai perkara ini telah diterima oleh pejabat JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pengadu memaklumkan ibu kandung bayi kembar berkenaan telah mengiklankan untuk menjual bayi itu dengan harga RM15,000 di laman sesawang terkemuka pada 8 Disember,” katanya.

Mohd Fazari berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Pelindung untuk pergi ke alamat yang telah dikenal pasti di Setapak, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, ketika Pelindung tiba di rumah berkenaan, pengadu serta wakil dari Pusat Perlindungan ‘Rumah Kita’ turut berada di situ.

“Tindakan segera menyelamat bayi tersebut telah diambil mengikut peruntukan Akta Kanak-kanak 2001,” katanya lagi.

Berdasarkan laporan media, sepasang kekasih  ditahan pada Selasa lalu kerana cuba menjual bayi kembar lelaki mereka secara terbuka melalui laman web jual beli popular, telah dilepaskan semalam atas jaminan polis, manakala dua bayi lelaki mereka diserahkan kepada JKM.

Pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jumaat lalu, satu iklan dimuat naik di sebuah laman web jual beli terkemuka negara, yang meletakkan gambar sepasang bayi kembar untuk dijual dengan harga RM15,000. Iklan terbabit kemudian tular di laman media sosial dan aplikasi pesanan WhatsApp. – Bernama

The post Cuba jual bayi kembar RM15,000: JKM, polis bertindak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian