Gadai aset Felda pengkhianatan kepada bangsa Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendesak Felda merombak dan menyemak semula status pengurusannya berikutan kepincangan yang berlaku dalam organisasi itu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penyelewengan yang berlaku dalam Felda dilihat sebagai skandal, khususnya isu pertukaran lot tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Teras amat kesal aset penting iaitu empat lot tanah milik Felda di jalan Semarak di Kuala Lumpur berpindah tangan kepada syarikat swasta yang disifat sebagai transaksi yang mencurigakan.

“Pendedahan kes tersebut hanya diketahui apabila media melaporkannya sedangkan ia berlaku pada 2015. Teras tidak boleh menerima kenyataan dari pihak yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan bahawa kes ini hanya diketahui sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas skandal tanah Felda di Jalan Semarak, dianggarkan bernilai RM200 juta, yang bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan dan mengakui agensi tanah Persekutuan itu hilang tiga bidang tanahnya apabila ia dipindah milik tanpa pengetahuan Felda.

Pertukaran hak milik secara rahsia itu dipercayai dilakukan pada 2015, ketika Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi Felda.

Azmi menyifatkan salah urus dalam Felda sebagai satu pengkhianatan memandangkan ia adalah aset terbesar bangsa Melayu.

Tegasnya, sekiranya aset Felda digadaikan dengan kecuaian, ia akhirnya akan menghakis semua aset bagi orang Melayu di Malaysia.

“Selama dua tahun pemindahan milik tanah tersebut diketahui oleh pihak pengurusan, kenapa sekarang baru hendak disiasat dan tapak itu mahu dikaveat untuk dipulangkan semula kepada Felda.

“Apakah pihak pengurusan sengaja mahu menyembunyi transaksi yang telah merugikan Felda ratusan juta ringgit ini?,” soalnya.

Malah katanya, sehingga kini Felda masih belum menerima sebarang pembayaran daripada pemindahan milik tapak berkenaan.

“Siapakah yang membuat keputusan tersebut? Siapakah pemilik syarikat Synergy Pormenade Sdn Bhd yang diberi kuasa penuh membangun tapak tanah tersebut?

“Reaksi GWF dan Majlis Belia Felda yang melenting terhadap isu ini adalah wajar. Peneroka bukan sahaja rasa ditipu malah mereka rasa dikhianati,” katanya.

The post Gadai aset Felda pengkhianatan kepada bangsa Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian