Kastam rampas Erimin bernilai lebih RM23 juta

BUTTERWORTH, 7 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 1.541 juta pil Erimin 5 bernilai lebih RM23 juta yang diseludup masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini pada 17 Disember lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata bertindak hasil maklumat dan intipan yang dijalankan, pihaknya menyerbu Zon Perdagangan Bebas Kargo MAS LTAPP kira-kira pukul 9 pagi dan merampas 12 kotak berisi dadah Erimin 5 itu serta menahan dua lelaki berusia 18 dan 34 tahun.

“Kapal terbang dari Taipei yang membawa dadah itu tiba di LTAPP pada 14 Disember lepas dan diikrar sebagai peralatan mekanikal, ia kemudiannya dipindahkan dari gudang MAS Kargo ke gudang ejen yang terletak dalam kawasan Zon Bebas.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak Kastam menjalankan intipan selama tiga hari sebelum menyerbu gudang ejen itu dan merampas dadah berkenaan serta menahan dua lelaki yang merupakan ejen penghantaran barangan (dadah) berkenaan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, kesemua dadah itu dipercayai dibawa masuk ke Pulau Pinang untuk pasaran di dalam negara ini kerana mempunyai permintaan yang tinggi.

Zulkifli berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki hari ini, juga dipercayai ejen penghantaran berusia 40 tahun bagi membantu siasatan berhubung rampasan dadah berkenaan.

“Dua lelaki pertama yang ditahan itu direman selama 12 hari bagi membantu siasatan manakala lelaki ketiga pula berjaya ditahan di Perai dan pihak Kastam akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pihak yang mengimport dadah Erimin 5 itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Berdasarkan siasatan kami, syarikat yang membawa masuk dadah itu pernah beberapa kali membawa masuk pelbagai barangan dari Taipei sebelum ini dan Kastam masih menjalankan siasatan lanjut sama ada mereka mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dadah serta barangan lain agar menghubungi talian bebas tol Kastam 1800-88-8855 atau pejabat bahagian penguatkuasaan Jabatan Kastam Pulau Pinang 04-3972969. –
Bernama

The post Kastam rampas Erimin bernilai lebih RM23 juta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian