Mayat pegawai tentera lemas ditemui

SEREMBAN, 6 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Mayat Leftenan Kolonel Abdul Rashid Shahdan yang lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Pengkalan Durian, Linggi, Port Dickson, dekat sini, semalam, ditemui pagi tadi.

Mayat Abdul Rashid, 54, yang merupakan pegawai Tentera Darat yang bertugas di Markas Angkatan Bersama di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, ditemui kira-kira 9.30 pagi tadi dalam operasi mencari dan menyelamat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Mohd Faisal Mohd Noor berkata mayat mangsa dijumpai orang kampung bersama-sama anggota polis dan penyelamat Angkatan Pertahanan Awam dipermukaan air lombong, yang jaraknya 600 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 10.30 pagi tadi.

Semalam, Abdul Rashid ke kawasan lombong berkenaan bersama-sama tiga anak saudaranya berusia dalam lingkungan 11 hingga 13  tahun untuk beriadah sebelum dipercayai turun ke dalam lombong untuk menyeberangi saliran.

Mangsa kemudian dihanyutkan air lombong deras sebelum hilang dari pandangan.

Sementara itu, Tentera Darat dalam kenyataannya berkata Abdul Rashid meninggalkan seorang balu Normazila Mokhtar, 49 tahun.

“Allahyarham tidak mempunyai anak. Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paya Lebar, Rembau hari ini. Terima kasih kepada tim pencarian sama ada orang awam serta agensi yang telah membantu operasi mencari dan menyelamat sejak semalam.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan diharap bersabar dengan dugaan ini. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dalam catatan laman Twitter beliau memaklumkan pihaknya menerima berita mayat Abdul Rashid telah dijumpai oleh tim penyelam komando dan nelayan di tengah lombong pada 9.37 pagi tadi.

“Terima kasih tim SAR yang jalankan usaha mencari sejak semalam. Semoga isteri dan ahli keluarga arwah bertabah dengan dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya. -Bernama

The post Mayat pegawai tentera lemas ditemui appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian