Metodologi 2: Dakwah & Tarbiah Ar-Rasul S.A.W.
Mengambil kira perbezaan individu
Rasulullah s.a.w amat teliti dan
peka dalam mendidik para Sahabat. Baginda memberi perhatian dan bimbingan
kepada setiap Sahabat dengan mengambil kira keupayaan, potensi, kejiwaan dan
keazaman mereka.
Perkara ini dapat dilihat dalam
peristiwa semasa persiapan perang untuk ke Tabuk. Saidina Umar Al-Khattob r.a.
pernah menceritakan bagaimana beliau berusaha menyaingi Saidina Abu Bakar r.a.
dengan menginfaqkan separuh hartanya. Padahal Saidina Abu Bakar r.a. telah
menginfaqkan seluruh hartanya, (Riwayat Abu Dawud). dan didalam peristiwa ini, Baginda
s.a.w. menerima infaq daripada kedua-dua mereka tersebut.
Sebaliknya, selepas pulang dari
Tabuk, Ka’ab bin Malik r.a. (salah seorang Sahabat yang telah gagal untuk turut
serta pergi berperang ke Tabuk), beliau ingin menginfaqkan seluruh hartanya
sebagai tanda syukur taubatnya diterima Allah. Namun Baginda s.a.w. bersabda
(yang bermaksud), “Pegang (Simpan) sebahagian hartamu untuk kegunaanmu lebih
baik untuk mu.” (Riwayat Al-Bukhari)
Dalam insiden yang lain, Abu Dawud
meriwayatkan bahawa, Rasulullah s.a.w. pernah menolak infaq daripada seorang Sahabatnya
yang cuba menginfaq seluruh hartanya.
Ketiga-tiga peristiwa ini melibatkan
isu yang sama iaitu infaq harta tetapi individu yang berlainan. Tindak balas
dan interaksi Rasul s.a.w. berbeza antara mereka. Rasul s.a.w. menerima infaq
separuh harta Umar dan seluruh harta Abu Bakar kerana Baginda mengenali
kekuatan iman dan keupayaan mereka dan tiada kebimbangan timbulnya masalah.
Manakala Ka’ab r.a., Baginda .sa.w. menasihati perkara yang lebih memberi
manfaat kepada agama dan kehidupan dunianya. Jika Baginda s.a.w. membenarkannya
menginfaq seluruh hartanya, adalah dibimbangi beliau tidak mampu bersabar
mengharungi kefakiran dan ketiadaan harta. Sementara lelaki ketiga ditolak
infaq seluruh hartanya bahkan ditegur oleh Baginda s.a.w., kerana bimbang dia
akan mengemis dan tidak mampu bersabar dengan kemiskinan.
Ibnu al-Qayyim r.h.m. merumuskan ,“Dikatakan
inilah yang pandangan yang terpilih insyaAllah ialah Nabi s.a.w. berurusan
dengan setiap individu yang ingin menyedekahkan hartanya berdasarkan maklumat
yang Baginda tahu berkenaan keadaan individu tersebut.” [Zad al-Ma’ad, Ibnu
al-Qayyim, Jilid 3, ms 589]
Maksudnya Baginda memberi saranan
bersesuaian dengan kekuatan iman dan keupayaan mereka mengharungi beban hidup.
Orang yang dibimbangi lemah menghadapinya, Baginda s.a.w. menyarankan untuk dia
menyimpan sebahagian hartanya. Orang yang mantap dan mampu berdikari selepas
itu, maka dia digalakkan bersedekah.
Lantaran itu, dapat difahami di sini
kenapa tindak balas atau reaksi yang berbeza Rasulullah s.a.w. terhadap soalan
yang sama tetapi oleh individu yang berlainan. Ini semua adalah dengan
mengambil kira latar belakang dan kekuatan individu tersebut yang diketahui
Baginda s.a.w.
Ulasan
Catat Ulasan