PT3: Dekatkan diri dengan Tuhan resipi kejayaan Muhammad Syazwan

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulawal 1439H, Khamis – “Kalau kita usaha sekuat mana sekalipun, kalau kita tidak dekatkan diri dengan Tuhan, tidak bermakna,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, Muhammad Syazwan Khirudin.

Anak bongsu daripada lima beradik itu adalah antara 425,251 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) seluruh negara yang mengambil keputusan mereka hari ini.

Muhammad Syazwan, 15, menyifatkan keputusan 9A dan 2B yang diperolehnya sebagai penyuntik semangat untuk beliau mengejar cita-cita sebagai akauntan suatu hari nanti.

“Saya agak terkejut apabila mendapat keputusan namun teramat bersyukur kerana saya seorang sahaja yang memperoleh 9A di sekolah ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Muhammad Syazwan berkata beliau meminati subjek Matematik dan mengulang kaji untuk menghadapi PT3 dengan mengajar rakan-rakannya setiap hari, terutama ketika berada di asrama harian sekolah tersebut.

“Kami tidaklah fokus belajar sahaja setiap hari, kami juga meluangkan masa beriadah dengan bermain permainan tradisional seperti ‘baling selipar’ setiap petang untuk menghilangkan tekanan,” katanya.

Seorang lagi pelajar SMK Segambut Jaya, Nur Saidah Bujang, 15, berkata walaupun kedua-dua ibu bapanya tidak dapat turut serta untuk mengambil keputusan bersamanya hari ini, beliau tetap terharu dengan sokongan rakan-rakan yang tidak putus memberi semangat.

“Bapa saya pemandu lori di ibu negara manakala ibu saya suri rumah, jadi saya mendedikasikan keputusan 6A yang saya peroleh hari ini untuk mereka berdua,” katanya dengan nada sebak.

PT3 dimulakan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

The post PT3: Dekatkan diri dengan Tuhan resipi kejayaan Muhammad Syazwan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian