Sultan Selangor suruh Zaid Ibrahim balik Kelantan

KLANG, 18 Rabiulawal 1439H, Khamis – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan terhadap ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan dalam nada keras, baginda menyifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang yang biadab, lapor Utusan Online.

Baginda yang jelas berdukacita dengan tindak-tanduk Zaid itu bertitah, Zaid sengaja memutar-belitkan kenyataannya mengenai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dengan cuba mengheret kepada isu politik.

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar itu, baginda tanpa brselindung mengingatkan ahli DAP tersebut agar pulang sahaja ke Kelantan, jika tidak bersetuju dengan teguran baginda dalam isu Dr Mahathir sehingga sanggup membuat kenyataan yang bersifat biadab seperti itu.

“Saya dukacita dengan komen Zaid Ibrahim dalam Twitternya yang mengulas kenyataan saya (mengenai Dr. Mahathir) dalam akhbar The Star. Saya minta Zaid Ibrahim baca dengan teliti ke­nyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” titah baginda di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Sebelum ini, dalam wawancara khas dengan The Star, Sultan Sharafuddin melahirkan kebimbangan dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeksploitasi isu kaum, agama dan lain-lain perkara sensitif dalam usaha meraih undi.

Titah baginda, tindakan seumpama itu dilihat akan meletakkan negara ke arah kehancuran, yang mana isu tersebut sentiasa menjadi perkara yang dibincangkan serta dibimbangi oleh ke­semua sembilan raja Melayu.

Dalam wawancara tersebut, baginda turut menegur Dr Mahathir yang sebelum ini menghina etnik Bugis dengan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai pemimpin yang mempunyai sifat inferiority complex (rendah diri) serta diselubungi perasaan kebencian.

Bagaimanapun pandangan baginda dipertikai Zaid apabila bekas menteri itu dipetik sebagai berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Mengupas tuduhan itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan Zaid agar tidak perlu mengajarnya ke­rana baginda sememangnya cukup berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi teguran ke atas Dr. Mahathir dibuat atas kapasiti sebagai raja dan bukannya bermotifkan politik.

“Saya sedar, Zaid selalu mengeluarkan komen yang tidak benar dan tidak tepat mengenai saya, dari dulu. Zaid adalah seorang ahli politik serta bekas menteri dan saya faham dari dulu lagi Zaid kuat menentang institusi raja.

“Nasihat saya kepada Zaid satu sahaja, janganlah kita jadi seperti kacang lupakan kulit dan janganlah musnahkan orang Melayu. Saya percaya Zaid tahu apa yang saya maksudkan,” titah baginda lagi.

The post Sultan Selangor suruh Zaid Ibrahim balik Kelantan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian