Tiada rogol dalam perkahwinan

BEBERAPA cadangan dikemukakan kembali oleh beberapa kumpulan mahukan suatu undang-undang dibuat bagi menjenayahkan perlakuan suami melakukan hubungan seks dengan isteri tanpa kerelaan isteri tersebut.

Golongan ini mahukan setiap hubungan seks mestilah dengan kerelaan kedua belah pihak. Malah pihak ini pergi jauh lagi dengan mahu menghalalkan perlakuan seks dengan kerelaan kedua pasangan walaupun pasangan tersebut tidak berkahwin.

Golongan ini juga mendakwa adalah menjadi hak setiap manusia mahu memperlakukan apa sahaja ke atas dirinya dengan kerelaan sendiri.

Jikapun ianya berdosa dari lensa agama, dosa tersebut adalah antara pelakunya dan Tuhan. Undang-undang tidak boleh menjadi polis kepada isu-isu moral. Malah golongan ini juga mendambakan pemansuhan undang-undang yang menghukum seseorang yang memujuk lari perempuan bersuami.

Pertamanya saya menjemput pembaca menelusuri Hukum Syarak di dalam isu ini. Apabila seorang lelaki dan wanita bernikah hubungan suami isteri antara mereka adalah halal. Namun Islam meletakkan pelbagai hak dan tanggungjawab di dalam aspek rumahtangga tersebut tidak terhad kepada hubungan seks semata-mata.

Oleh hal yang demikian dapatlah dilihat beban diletakkan kepada suami sebagai ketua keluarga dengan mencari nafkah keluarga dan mengemudi bahtera perkahwinan menurut Hukum Syarak.

Tanggungjawab mencari nafkah digalas oleh suami dan isteri tidak boleh diberatkan dengan tanggungjawab ini. Hal ehwal rumahtangga juga perlu dilakukan dan dipantau oleh ketua keluarga.

Tanggungjawab isteri pula lebih ditumpukan dalam aspek kasih sayang dengan suami dan juga anak-anak hasil perkahwinan.

Lantaran itu isteri antara lain perlu melayan naluri suami dan menyenangkannya. Begitu juga hak hadhanah lebih utama diberikan kepada ibu berbanding bapa walau sekaya manapun si bapa tersebut. Emosi dan belaian kasih sayang seorang ibu lebih diutamakan oleh Hukum Syarak.

Dalam hal yang demikian Hukum Syarak tidak mengiktiraf ‘rogol dalam perkahwinan’. Ini bermakna setiap perlakuan seks antara pasangan suami isteri tidak boleh terjumlah sebagai perbuatan rogol. Golongan liberal mendakwa kedudukan ini akan menzalimi wanita khususnya kerana terdapat insiden dimana ada wanita cedera akibat perlakuan seks suaminya sendiri.

Isteri juga dikatakan sengsara kerana terpaksa melayan nafsu suami walaupun beliau dalam keadaan tidak bersedia letih ataupun apabila sudah tidak lagi menyukai suaminya.

Sebenarnya isu kecederaan wanita semasa melakukan seks dengan suaminya telahpun ditangani sebaiknya oleh Hukum Syarak dan undang-undang.

Maqasid Syariah yang lima antara lain bertujuan menjaga nyawa tidak akan berkompromi di dalam perbuatan mendatangkan kecederaan. Islam tidak menghalalkan suami mencederakan isteri semasa melakukan seks. Pihak isteri boleh mempertahankan haknya jika dicederakan suami.

Begitu juga kita sudah ada undang-undang mencegah perlakuan sebegini. Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang mula berkuatkuasa pada 7 September 2007 memperuntukkan mana-mana lelaki di dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan kepada isterinya atau mana-mana orang lain untuk mengadakan persetubuhan dengan isterinya hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun.

Ironinya seksyen 375A ini tidak menjadikan kesalahan jika isteri yang mencederakan suami.

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 juga boleh digunakan oleh mana-mana pasangan yang menghadapi keganasan rumahtangga.

Malah akta ini juga mempertuntukkan perlindungan kepada mana-mana pasangan suami atau isteri yang dianiaya. Baru-baru ini Akta tersebut dipinda bagi memperkemaskan beberapa perkara yang menjadi isu seperti perlindungan sementara.

Malah, terdapat banyak peruntukan undang-undang di dalam Undang-Undang Keluarga Islam di seluruh negara memberikan hak kepada isteri mendapat perintah injunksi dan remedi lain dari mahkamah syariah jika berlaku penganiayaan terhadap isteri oleh suami.

Begitu juga bagi pasangan bukan Islam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 boleh memberi beberapa relief kepada para isteri juga.

Oleh hal yang demikian saya berpandangan undang-undang yang ada sudah memadai. Menjadikan ‘rogol dalam perkahwinan’ akan mendatangkan kesan lain kepada pasangan suami isteri dan tidak selaras dengan Hukum Syarak.

Hukum Syarak telah menjelaskan dengan terperinci tentang hak dan tanggungjawab suami isteri. Jurisprudens Islam juga telah begitu terperinci membicarakan isu ini dengan mendalam. Oleh itu tiada keperluan untuk melangkah ke belakang dengan meminggirkan prinsip perundangan Syariah.

Pergaulan antara suami isteri hendaklah dilakukan dengan maaruf dan kasih sayang. Sebagai ketua keluarga suami perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh berhemah dan akauntabiliti.

Suami bukan diktator atau ketua yang setiap tindakannya tidak boleh dipersoal. Selagi ia tidak melanggar Hukum Syarak tindakannya perlulah dihormati tetapi jika ketua ketua telah tergelincir dari landasan syarak tiada lagi ketaatan perlu diberikan isteri.

Wanita dikatakan terjadi dari rusuk kiri lelaki. Ia dekat di hati lelaki untuk dicintai. Wanita tidak dijadikan dari tulang kepala untuk dijunjung mahupun dari tulang kaki untuk dipijak.

Sebenarnya tidak perlu ada persaingan antara suami dan isteri dalam tanggungjawab dan peranan. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab tersendiri dan bertindak saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Bukan bersaing sesama suami isteri. Peranan dan tanggungjawab ini perlu dimainkan mengikut kemampuan kekuatan dan kelebihan masing-masing demi melayari bahtera perkahwinan mereka.

Pihak Kerajaan juga pada tahun 2015 telah menegaskan tidak bercadang untuk meminda Kanun Keseksaan bagi menjadikan kesalahan rogol suami terhadap isteri.

Perkara ini pernah dijelaskan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri pada tahun 2015 di Parlimen. Masih tidak berpuas hati dengan penjelasan ini golongan liberal mahukan perkara ini dibawa juga ke Parlimen untuk pindaan.

Desakan golongan ini lebih ketara kebelakangan ini kerana sebagaimana kita ketahui mereka mahu meraih laba sokongan khususnya dalam musim pilihanraya ini.

Sekali lagi saya jelaskan undang-undang mengenai rogol di dalam perkahwinan ini tidak perlu dibuat kerana undang-undang yang sedia ada sudah mencukupi untuk menghukum suami yang mencederakan isteri semasa melakukan seks.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Artikel ini telah disiarkan lebih awal lagi di ruangan PPMM di Utusan Malaysia bertarikh 26 Oktober 2017, dan diulang siar di Ismaweb.net dengan izin penulis.

The post Tiada rogol dalam perkahwinan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian