Tun M layak galas jawatan PM kerana rekod cemerlang: Mukhriz

SHAH ALAM, 11 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai calon paling layak menggalas jawatan Perdana Menteri kerana beliau mempunyai rekod cemerlang mentadbir kerajaan dan mengeluarkan negara daripada pelbagai krisis.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengakui Bersatu mahukan jawatan itu, tetapi bukan bertujuan untuk bermegah-megah.

Beliau berkata, tuntutan ke atas jawatan Perdana Menteri dibuat kerana Dr Mahathir adalah pemimpin yang dilihat paling layak untuk memegang jawatan itu.

“Jawatan Perdana Menteri bukan semata-mata kerana kuasa. Rakyat tentu suka manifesto Pakatan Harapan, bahkan rakyat juga mahu tahu siapa yang akan kepalai PH. Rata-rata rakyat mahukan Dr Mahathir.

“PPBM tuntut jawatan itu kerana Dr Mahathir dilihat paling layak dan berpengalaman untuk keluarkan Malaysia daripada belenggu,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung PPBM di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.

Sebaliknya jawatan itu penting kerana bagaimana seseorang yang menjawat jawatan itu menggunakan kuasa untuk kepentingan rakyat, katanya.

“Kuasa Perdana Menteri memberi impak besar kepada rakyat. Jika seorang Perdana Menteri itu menyalahgunakan kuasanya, bebannya akan ditanggung rakyat berpuluh-puluh tahun lamanya,” katanya

Mukhriz yang juga anak Dr Mahathir berkata, bapanya adalah seorang pemimpin yang berpengalaman dan mempunyai rekod cemerlang serta mampu menyelesaikan krisis semasa dan ciri-ciri itu adalah penting yang diperlukan oleh negara sekarang ini.

“Nak menangani kerosakan institusi kerajaan, kerosakan imej negara, rasuah tahap gaban, semua ini bukan kerja mudah. Jangan sesiapa nampak seorang Perdana Menteri itu dengan kuasanya sahaja, sebaliknya jawatan itu diisi dengan amanah dan tanggungjawab,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, jumlah kerusi terbanyak bukan kayu ukur dalam memilih Perdana Menteri kerajaan baharu.

Katanya, antara faktor kelayakan ialah pengalaman dan kepercayaan rakyat terbanyak untuk mengeluarkan Malaysia daripada krisis.

The post Tun M layak galas jawatan PM kerana rekod cemerlang: Mukhriz appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian