APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN SEBAGAI SUKARELAWAN BENCANA BANJIR?

KERJA-KERJA DI PUSAT PEMINDAHAN

1. Orang ramai yang prihatin akan menyumbang bantuan pakaian terpakai seperti baju kurung, baju kemeja, tudung, tuala dan sebagainya yang kadang kala berakhir menjadi timbunan baju-baju terpakai, apabila berlebihan.

2. Yang kurang, adalah telekung bersih, kain pelekat, sejadah dan kopiah yang mana kadang kala menjadi alasan mangsa banjir tidak menunaikan solat. Justeru, sumbangan keperluan untuk menunaikan solat ini perlu diberi perhatian agar mangsa banjir dapat menunaikan kewajipan solat yang seharusnya tidak diabaikan lebih-lebih lagi dalam suasana menghadapi ujian bencana alam seperti ini.

3. Kanak-kanak dan remaja di pusat pemindahan antara golongan yang sering diabaikan keperluan fizikal, emosi dan mental mereka. Hakikatnya, golongan ini lebih mudah mengalami trauma melihat rumah dinaiki air, meredah air ke pusat pemindahan dan terpaksa tinggal di pusat pemindahan yang jauh berbeza dari persekitaran normal mereka. Justeru, sukarelawan boleh memberi fokus kepada golongan ini untuk meredakan emosi dan trauma mereka. Aktiviti seperti mewarna, melukis, sukaneka dan bercerita mampu menceriakan mereka. Melihat anak-anak mereka gembira melakukan aktiviti bersama sukarelawan, akan turut menceriakan ibu dan ayah yang pasti jauh lebih tertekan dengan musibah yang melanda.

4. Golongan remaja juga merupakan golongan yang mudah mengalami ‘stress’ dalam musibah ini. Keadaan pusat pemindahan yang padat, tiada ‘privacy’, lari dari rutin seharian, menyebabkan ramai remaja yang hanya berpeleseran, termenung dan membuang masa dengan tiada aktiviti bermanfaat.

Sukarelawan boleh membawa permainan ‘indoor’ seperti catur, sahibba, saidina, korum, mahupun menghidupkan semula permainan tradisional seperti batu seremban dan congkak agar mereka dapat sekurang-kurangnya berinteraksi dan melupakan sebentar beban masalah yang ditanggung.

5. Sukarelawan juga boleh memberi ceramah atau perkongsian motivasi, kesihatan dan kaedah bersuci dan menunaikan ibadah solat ketika banjir kepada para ibu bapa. Khidmat kaunseling, walaupun sekadar mendengar keluhan dan memberi kata-kata semangat kepada mangsa, terutama golongan wanita, dapat menunjukkan kebersamaan kita dalam menghadapi musibah ini. Juga, boleh dicadangkan kapada pusat pemindahan banjir, sokongan rohani adalah sangat penting. Sebaiknya, laungkanlah azan ketika waktu solat masuk, hidupkan solat berjemaah, dan mengadakan sesi tazkirah selepas solat fardhu, agar suasana tenang dapat diwujudkan.

KERJA-KERJA PEMBERSIHAN DI RUMAH MANGSA

1. Sukarelawan perlu disediakan mental dan fizikal. Kesan selepas banjir di lokasi adalah pemandangan yang menghayat hati, meruntun jiwa dan boleh melemahkan semangat sekiranya sukarelawan tidak dipersiapkan dengan realiti yang sebenar. Kawasan yang kotor berlumpur, bau busuk bangkai-bangkai binatang yang mati, longgokan perabot yang rosak dan pecah, kadang kala pemandangan ini adalah di luar jangkaan sukarelawan terutama yang tidak pernah terlibat dalam misi banjir.

2. Anda tidak akan mampu untuk membantu membersihkan semua, dan membantu semua mangsa, justeru, lakukan kerja-kerja yang mampu sebaiknya, hakikatnya bantuan anda yang anda akan rasakan terlalu kerdil itu, sebenarnya cukup besar dan bermakna kepada mangsa banjir yang dibantu.

3. Sebaiknya, peralatan kerja-kerja pembersihan dibeli dan dibawa oleh sukarelawan, dan tidak bergantung kepada mangsa banjir mahupun pihak pengurusan banjir tempatan untuk menyediakannya. Kita akan dapati kelengkapan ini akan habis dijual di kedai-kedai di kawasan banjir dan kalau adapun, harganya lebih mahal dari biasa. Antara peralatan pembersihan yang perlu;
• Water jet
• Penyapu berus (yang keras)
• Boot getah
• Sarung tangan
• Pencakar besi
• Wiper lantai (banyak lagi bagus, sangat berguna)
• Sabun lantai & sabun pinggan/mangkuk
• Sponge/Kain buruk – basuh peralatan dapur
• Plastik sampah hitam banyak2
• Kereta sorong
• Penyodok untuk lumpur tebal

4. Sukarelawan dinasihati sentiasa memakai boot getah, mask dan glove sepanjang kerja-kerja pembersihan. Membasuh tangan dengan betul selepas kerja-kerja pembersihan dan sentiasa membasuh tangan sebelum makan. Elakkan makanan terdedah kepada persekitaran. Perlu diingat kawasan banjir adalah kawasan yang kotor, usaha-usaha mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit dan keracunan makanan adalah penting untuk memastikan kebajikan sukarelawan dan juga mangsa banjir. Jika ada sebarang luka yang terdedah, tutup rapat-rapat dengan plaster luka.

Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim
Naib Ketua Wanita Isma Kuantan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian