Bapa bawa anak titi jambatan gantung runtuh mohon maaf

KUANTAN, 14 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Hasratnya hanya untuk menarik perhatian pihak yang berkenaan agar jambatan gantung yang roboh setahun lalu diganti baharu, namun ramai yang salah faham termasuk memarahinya kerana membahayakan nyawa anak.

Susulan itu, Abdul Jalil Sulaiman, 41, tampil memohon maaf kerana menularkan video yang memaparkan dirinya membawa anak, Lutfil Hadi, 5, meniti di atas sebuah jambatan gantung yang rosak di Kampung Pamah Aur, Bukit Bentong, Lipis hari ini.

“Saya minta maaf sebab menularkan tentang jambatan gantung itu, hajat kami cuma ingin jambatan baharu bagi menggantikannya, tak sangka pula ramai yang salah faham,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Menurutnya dia ketika itu mahu membawa anaknya mengikuti hari pertama sesi persekolahan prasekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Yon, Bukit Bentong dan video dirakam oleh isterinya Siti Zaharah Othman, 33.

Empat klip video tersebut dimuat naik oleh Siti Zaharah menerusi Facebook berserta kapsyen “Anak emak bersemangat dah nak ke sekolah… tetapi kena harungi jambatan yang canggih ini. Dah setahun, tak ada perubahan langsung… Jambatan Gantung Pamah Aur Bukit Betong, Kuala Lipis”, ditonton oleh lebih 1.2 juta orang dengan lebih 33,000 perkongsian selain menerima 12,000 komen.

Mengulas lanjut, video itu yang turut menyebabkan wakil rakyat dikecam kerana disifatkan gagal menjalankan tanggungjawab, Abdul Jalil berkata dia tidak berniat memburukkan mana-mana pihak.

“Pagi tadi saya ingin hantar anak lelaki saya itu ke prasekolah, tetapi jalan raya yang menghubungkan kampung ini dengan sekolah itu dinaiki air sebab banjir, jadi saya ambil keputusan untuk menggunakan jambatan yang telah genap setahun runtuh itu,” katanya.

Bapa kepada lima anak berusia antara 11 dan empat tahun itu berkata, sebelum ini penduduk kampung sering menggunakan jalan tersebut untuk berulang-alik memandangkan ia lebih cepat dan mengambil masa tidak sampai 10 minit untuk ke Bukit Betong berbanding 40 minit menggunakan jalan raya.

Katanya, sebaik video itu tular, dia menerima banyak panggilan telefon selain telah berjumpa Anggota Dewan Undangan Negeri Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Pahang bagi penjelasan lanjut.

“Yang Berhormat (Wan Rosdy) sendiri telah menjelaskan bahawa proses penggantian jambatan baharu telahpun dalam perancangan dan dijangka dilakukan 8 Jan ini, jadi saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan masalah ini,” katanya.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, isu itu telah selesai dan ia hanya salah faham yang kerana penduduk tidak tahu tentang langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk menggantikan jambatan yang runtuh berikutan banjir pada tahun lepas itu.

“Kita telahpun membuat permohonan untuk melakukan kerja baik pulih jambatan itu dan diluluskan pihak Jabatan Kerja Raya pada 21 Dis lalu dan saya sendiri terkejut apabila dimaklumkan tentang penularan video berkenaan sedangkang langkah telahpun diambil untuk menggantikannya.

“Bagaimanapun saya sendiri telah berjumpa dengan Abdul Jalil dan beliau sendiri berpuas hati dengan penerangan yang diberikan selain meminta maaf atas perbuatan itu,” katanya yang berkongsi segala dokumen berkaitan dengan Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Antaranya surat permohonan untuk mendapatkan peruntukan khas bagi membaik pulih jambatan berkenaan yang ditujukan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bertarikh 1 Jun 2017 serta dokumen kelulusan permohonan bertarikh 21 Dis dengan kos sebanyak RM462,414,40 dan kerja-kerja baik pulih dijadualkan bermula Isnin depan.

Berikutan itu, Wan Rosdy meminta penduduk yang menghadapi masalah di kawasan masing-masing agar tidak menularkan perkara itu, sebaliknya berjumpa dengan pihak jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung atau penghulu untuk tindakan lanjut.- Bernama

The post Bapa bawa anak titi jambatan gantung runtuh mohon maaf appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian