Kerajaan patut fikir keperluan sekolah agama daripada penuhi tuntutan Dong Zong

SEBAGAI alumni sekolah agama, kini guru agama dan mengajar pula di sekolah agama, saya tidak boleh bersabar lagi dengan tuntutan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) untuk membina lebih banyak sekolah rendah Cina, yang kononnya masih tidak mencukupi.

Setiap hujung tahun selepas keputusan UPSR diumumkan, sekolah saya, iaitu sekolah harian agama di Bandar Seremban, akan dihujani dengan panggilan telefon oleh ibu bapa yang mahu memasukkan anak-anak mereka di sekolah ini. Itu belum lagi dengan guru-guru yang dihujani dengan mesej melalui Whatsapp daripada saudara mara dan rakan taulan yang bertanya hal yang sama. Boleh atau tidak anak mereka belajar di sekolah agama yang satu ini?

Asalnya sekolah ini adalah sekolah agama harian yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang anaknya mahu belajar di sekolah agama. Namun kebanyakan ibu bapa semakin sedar dan insaf akan keperluan sekolah agama untuk anak-anak mereka. Tambahan pula suasana persekitarannya tidak sama dengan sekolah menengah kebangsaan biasa, walaupun dari sudut prasarana sekolah agama amat jauh bezanya dengan sekolah menengah kebangsaan menyebabkan pihak sekolah terpaksa menghadkan pemilihan dan mengetatkan syarat kemasukan.

Ibu bapa berebut mahu menghantar anak ke sekolah agama. Walaupun di sini ada dua sekolah agama bertaraf kluster dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), namun kemasukan ke sana juga  sangat terhad dan memerlukan keputusan UPSR yang banyak A.

Masalahnya, sekolah saya ini sekolah kecil, bangunan yang lama dan kelas sangat terhad untuk menerima kemasukan pelajar yang ramai. Semua ruang yang ada di sekolah ini telah digunakan untuk bilik darjah dan bilik-bilik khas termasuk bilik di bawah asrama puteri yang sebelum ini digunakan untuk kelas persediaan di waktu petang dan malam. Hatta dewan sekolah pun telah dijadikan bilik darjah dan pelajar sering berpindah-randah jika ada program-program yang memerlukan penggunaan dewan.

Isunya ialah selepas 36 tahun saya keluar dari sekolah ini, iaitu satu-satunya sekolah agama di  bandar Seremban, tiada lagi pembinaan sekolah agama baru diusahakan oleh kerajaan untuk menampung keperluan majoriti anak-anak Melayu yang mahu belajar di sekolah harian agama. Ya memang diwujudkan Kelas Aliran Agama (KAA) tetapi itu pun tidak mengurangkan permintaan ibu bapa untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah agama atas alasan-alasan tertentu.

Sedangkan pertambahan SMK di Bandar Seremban sahaja begitu banyak dan ketara sekali (tidak termasuk kawasan Nilai,Rantau dan sekitarnya). Daripada 25 buah SMK, lebih 15 buah daripadanya adalah sekolah baru yang dibina dalam tempoh 40 tahun ini berbanding dengan tidak ada satu pun sekolah agama baru yang dibina untuk anak-anak Melayu Islam.

Tiba-tiba baru-baru ini Dong Zong mengemukakan tuntutan lagi. Jika kerajaan tunduk dan akur dengan mereka, memang jelas kerajaan sedia ada memang tidak boleh diharapkan lagi untuk membela nasib umat Islam.

Ustazah Jamiah Wahab
Naib Yang Dipertua Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) Negeri Sembilan

Artikel ini adalah pendapat penulis dan tiada kaitan dengan dasar Ismaweb.net. 

The post Kerajaan patut fikir keperluan sekolah agama daripada penuhi tuntutan Dong Zong appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian