Mangsa banjir Johor, Pahang meningkat

JOHOR BAHRU, 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 627 orang pagi tadi dengan 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 10.00 pagi, seramai 530 orang daripada 138 keluarga berada di 6 PPS di Mersing berbanding 430 orang daripada 106 keluarga di 5 PPS, 7.00 pagi tadi.

“Di Segamat pula, jumlah mangsa banjir kekal 97 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam, “ katanya dalam kenyataan.

Mereka kini ditempatkan di PPS Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, Balai Raya Kampung Pogoh Tengah, Kompleks Penghulu Mukim Pogoh dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

Ayub berkata PPS yang baru dibuka di Mersing melibatkan Balai Raya Kampung Air Merah yang beroperasi pada 5.45 pagi tadi dengan menempatkan 28 orang daripada 8 keluarga.

Beliau berkata 5 PPS lain di Mersing adalah Balai Raya Kampung Tenglu, Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan, Sekolah Agama Pengkalan Batu, Sekolah Agama Mersing Kanan dan SK Labong.

Jalan Telok Arong di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing atau Endau-Jalan Air Papan.

Jalan Johor Bahru-Kuantan pula tidak boleh dilalui untuk kenderaan ringan, namun mereka boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Sekakap-Meta.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 1,452 orang setakat 9.00 pagi tadi melibatkan 3 daerah apabila Raub dilanda banjir sekali lagi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusof berkata semua mangsa banjir di Pekan, Rompin dan Raub ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Pekan terus merekodkan pertambahan mangsa dengan 1,210 orang berbanding 1,165 orang malam tadi dan ditempatkan di 10 buah PPS.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang kini menempatkan 322 mangsa, SK Sri Biram (67), SK Sinar Mutiara (375), SK Seri Terentang (39), SK Temai (93), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya (136), Pulau Manis (75), Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39), Pusat Pemindahan Kampung Lamir (55) dan SK Acheh (sembilan),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di Rompin, jumlah mangsa turut meningkat kepada 239 orang berbanding 125 orang malam tadi dan ditempatkan 3 buah pusat pemindahan SK Tekek, Tioman (63), Dewan Orang Ramai Leban Chondong (72) dan Balai Raya Setajam (104).

Di Raub, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu Masjid Jamek Kuala Semantan menempatkan 3 mangsa. -Bernama

The post Mangsa banjir Johor, Pahang meningkat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian