PAS ada tokoh layak jadi PM, menteri, kata Nasrudin

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Pelantikan seseorang Perdana Menteri terletak di bawah kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, setelah baginda yakin seorang Ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti memegang jawatan itu, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Oleh itu, katanya, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak bersikap mendahului, memperkecilkan kuasa dan budi bicara atau memberi kata dua kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Perdana Menteri.

Katanya, menerusi amalan demokrasi yang dipraktikkan di Malaysia, Perdana Menteri akan dilantik daripada kalangan parti yang menang pilihan raya dan membentuk kerajaan memerintah.

“Perkara 40 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melantik seorang Perdana Menteri.

“Begitu juga Perkara 43 (2) (a) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri ‘seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan beliau dibuat sehari selepas bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar PAS menyatakan siapa calon Perdana Menteri parti itu.

“Kita nak tau PAS ni nak bertanding siapa calon perdana menteri dia. Calon dia Najib ke atau saya ke? Yang itu kita nak tahu. Calon dia saya ingat dia boleh menang jika orang suka calon dia,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya, semalam.

Mengulas lanjut, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, sistem pilihan raya di Malaysia tidak mengamalkan Pilihan Raya Presiden atau Pilihan Raya Perdana Menteri, tetapi yang bertanding adalah parti-parti politik yang berdaftar dan parti itu mengemukakan calon masing-masing untuk dipilih oleh rakyat.

Justeru, beliau berkata, PAS hanya memfokuskan untuk memenangi pilihan raya dengan membawa agenda perubahan secara menyeluruh dan tidak hanya berfikir mengenai calon Perdana Menteri sahaja, tetapi juga merancang langkah memulihkan sistem pentadbiran negara supaya mengikut cara Islam.

Dalam kenyataan itu, beliau tidak menyatakan siapa yang dicalonkan oleh PAS untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi menyatakan bahawa parti itu mempunyai tokoh-tokoh berkelayakan untuk jawatan anggota Kabinet dan Perdana Menteri.

“PAS tidak ketinggalan dari tokoh-tokoh yang berkelayakan untuk menjawat anggota Kabinet mahupun Perdana Menteri, namun ia bukan keutamaan masa ini untuk di namakan si polan bin si polan,” katanya.

Tahun lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak tindakan pihak tertentu yang lebih mengutamakan calon Perdana Menteri, selain pembentukan Kabinet bayangan jika menang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, beliau berkata, tindakan itu bercanggah dengan adab dibawa Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, sesetengah pihak menempelak kenyataan Abdul Hadi itu dengan merujuk kenyataan Dewan Ulama PAS Pusat pada muktamar tahunan ke-58 yang mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri.

The post PAS ada tokoh layak jadi PM, menteri, kata Nasrudin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian