Bumiputera diseru henti budaya ‘nanti dulu’ dalam pemilikan hartanah

KUALA LUMPUR, 22 Jamadilawal 1439H, Khamis – Golongan Bumiputera hari ini khususnya golongan muda harus menghentikan budaya ‘nanti dulu’ dalam perancangan mereka untuk memiliki hartanah sendiri, kata Pengerusi UDA Holdings Bhd, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Beliau berkata, golongan muda Bumiputera lebih cenderung untuk berbelanja dan membuat hutang daripada hampir keseluruhan pendapatan mereka untuk keperluan yang tidak terlalu penting berbanding memiliki hartanah.

“Keutamaan dalam kalangan golongan muda Bumiputera (hari ini), terutamanya apabila mereka mula bekerja, adalah untuk mengguna pakai sumber kewangan mereka lebih kepada barangan yang bersifat jangka pendek seperti kereta, motorsikal dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai Prospek Pembangunan Hartanah Bumiputera, di sini, hari ini .

Mohd Shafei berkata, apa yang lebih merugikan adalah keperluan seperti ini bersifat susut nilai pada masa hadapan dan akan menjejaskan peluang pelaburan jangka masa panjang bagi golongan ini.

“Dari segi tabungan (untuk memiliki hartanah sendiri) pula, ia agak berkurangan, kerana mereka merasakan keperluan seperti hartanah ini boleh di beli di kemudian hari.

“Sepatutnya perancangan untuk memiliki hartanah ini mesti dibuat dari hari pertama, kalau boleh dari mereka mula lahir (dengan inisiatif ibu bapa), mula menabung dan berterusan sehingga mereka memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda Bumiputera harus menjadikan perancangan untuk memilki hartanah sebagai keutamaan sebelum perancangan lain yang bersifat jangka pendek dan susut nilai.

“Mungkin dahulu, kita terpaksa mengutamakan kepada pemilikan terhadap kereta atau motorsikal kerana kemudahan awam di negara kita pada waktu itu adalah sangat terhad.

“Namun, situasi sekarang adalah amat berbeza, di mana kita telah mempunyai jaringan LRT, MRT dan perkhidmatan kereta api antara bandar lain yang bagus, di samping pengangkutan awam sedia ada yang telah ditambah baik seperti perkhidmatan bas,” katanya.

Menurutnya, dengan kemudahan pengangkutan awam menyeluruh yang disediakan oleh kerajaan hari ini, golongan tersebut seharusnya mengubah gaya hidup mereka dan seterusnya dapat membantu meningkatkan tabungan mereka.

“Tabungan ini, sekiranya dilaburkan dalam hartanah, nilainya akan bertambah. Sekiranya mereka ingin menjual hartanah yang mereka miliki ini di masa hadapan, mereka akan mendapat keuntungan dan boleh digunakan untuk memiliki hartanah yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafei berkata, projek pembangunan bercampur Bukit Bintang City Centre (BBCC) yang dibangunkan bersama oleh UDA Holdings, Eco World Development Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka dapat memberikan manfaat kepada peniaga Bumiputera.

“Di BBCC, selain daripada pasar raya, hotel, pangsapuri dan sebagainya, kita juga mempunyai Grand Bazaar, iaitu sebanyak 150 buah, yang akan mempamerkan barangan Malaysia yang dipakejkan semula kepada standard yang lebih tinggi, bagi menarik minat pembeli tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, Grand Bazaar itu diperuntukkan kepada peniaga Bumiputera dan dijangka menjadi “tempat wajib kunjung” serta destinasi persinggahan yang ideal bagi penduduk kota dan pelancong asing.

Justeru, katanya, ia merupakan peluang bagi para peniaga Bumiputera untuk mempromosikan produk mereka dan meraih hasil jualan tinggi menerusi bazar ini.- Bernama

The post Bumiputera diseru henti budaya ‘nanti dulu’ dalam pemilikan hartanah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian