Gaji SL1M: Kerajaan pancing pemuda raih sokongan PRU14
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 10 Jamadilakhir 1439H, Isnin – Kerajaan sepatutnya memikirkan jalan penyelesaian menyeluruh meliputi kebolehpasaran pekerja untuk golongan muda, bukan semata-mata menaikkan gaji menerusi Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).
Sebaliknya, Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menyifatkan langkah menaikkan gaji SL1M daripada RM1,500 ke RM2,000, hanya gula-gula untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Biro Penerangan dan Kajian Pemuda Isma, Muslim Abdullah Zaik berkata, kerajaan tidak patut menjadikan keterdesakan golongan muda sebagai umpan untuk memancing undi, sebaliknya mesti ikhlas membuktikan peranan mereka sebagai sebuah kerajaan.
“Kami anak muda mahu penyelesaian berterusan, bukan sahaja meliputi kebolehpasaran anak muda dalam pekerjaan bahkan berterusan ke arah pengupayaan pemilikan hartanah.
“Isu pemilikan rumah di Malaysia yang didedahkan Bank Negara baru-baru ini, menunjukkan harga rumah di Malaysia berada pada tahap tidak mampu milik. Laporan yang dikeluarkan BNM mengetengahkan beberapa faktor utama rumah tidak terjual.
“Pemaju membina banyak kediaman yang tidak padan dengan kadar permintaan, bahkan bukan pada harga mampu milik dan kadar peningkatan pendapatan rakyat Malaysia lebih perlahan, berbanding peningkatan harga rumah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa elaun pelatih dinaikkan sebanyak RM500 sebagai motivasi kepada mereka.
Muslim berkata, golongan muda kini hidup dalam rencah survival yang dahsyat sehinggakan mengurangkan tumpuan mereka dalam membabitkan diri dengan pembinaan negara secara strategik.
Lebih malang katanya, mereka hanya terbabit sebagai pekerja yang melalui putaran yang tidak produktif dan senang ditelan golongan kapitalis.
“Tidakkah ini memberi isyarat kepada kerajaan bahawa kadar ekonomi negara yang dicapai sekarang tidak membantu kadar beli rakyat Malaysia? Hasilnya kadar pendaftaran pengundi muda turun, wujudnya kempen #undirosak, dan lesu dalam menyampaikan idea serta kritikan,” katanya.
The post Gaji SL1M: Kerajaan pancing pemuda raih sokongan PRU14 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan