Kelab NAZIM KualaTerengganu anjur program “Sayangi Allah dan Rasulullah”

 

2 Febuari, K. Terengganu – Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) cawangan Kuala Terengganu telah menganjurkan satu program iaitu “Sayangi Allah dan Rasulullah”. Antara fokus program ini adalah untuk mengingatkan generasi muda khususnya agar menolak sekeras-kerasnya amalan menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day) yang boleh mencetuskan aktiviti maksiat dan bercanggah dalam agama Islam.

Pengarah program, Ustazah Nuraini Nabilah binti Adrizal berkata “Anak-anak perlu sedar bahawa sambutan atau meraikan hari yang dibawa oleh pihak tertentu ini tidak sesuai untuk membentuk akhlak dan sahsiah umat Islam itu sendiri.”

Beliau turut menekankan di dalam ucapannya yang berlangsung di Surau Al-Muttaqin, Taman Adis Indah bahawa “Generasi muda masa kini tidak harus terikut-ikut dan terpengaruh dengan hari yang dikatakan istimewa untuk menggambarkan kasih sayang kepada pasangan masing-masing.”

Kata beliau lagi “Perkara tersebut adalah agenda dalam usaha melalaikan orang Islam dan kita seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi agar gejala sosial di kalangan generasi muda tidak berleluasa.”

Selain daripada ceramah ilmiah, para peserta turut diceriakan dengan pelbagai aktiviti lain seperti mencari harta karun dan slot kreativiti yang dikendalikan oleh ahli-ahli Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIZA).

 

Diakhir program ini, para peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun telah diingatkan supaya untuk menjadikan asas fardu ain sebagai kewajipan dan bukan sebagai bahan ilmu semata-mata. Ini bagi memastikan diri mereka menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat dan mampu untuk mengetepikan anasir negatif seperti sambutan hari kekasih ini.

Sementara itu, satu lagi program yang sama telah dijalankan secara serentak di Dewan Komuniti Kg. Che Kundur, Batu Burok. Ceramah “Katakan Tidak Pada Hari Valentine” telah disampaikan oleh Ustazah Wan Noraini Wan Ibrahim.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?