Riyadh bakal ada senjata nuklear

RIYADH, 6 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Arab Saudi dilaporkan pantas menyambar peluang terbuka untuk menjadi negara baharu di Timur Tengah yang memiliki senjata nuklear.

Laporan tidak rasmi menyatakan Riyadh hampir mencapai kesepakatan perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) bagi membeli reaktor nuklear, walaupun wujud kebimbangan terhadap penerimaan ke atas sekatan ketat perluasan senjata nuklear.

Putera Mahkota Mohamed bin Salman, yang dianggap pemerintah de facto Arab Saudi, memiliki cita-cita tinggi untuk mempelbagaikan sumber tenaga negara itu dan bersedia membeli reaktor nuklear.

Potensi tawaran lumayan daripada Arab Saudi adalah terlalu bagus untuk diketepikan. Pentadbiran Presiden Donald Trump, tidak mungkin menolak kontrak bernilai berbilion-bilion dolar bagi reaktor nuklear itu.

Bagaimanapun, Arab Saudi dilaporkan enggan terikat dengan peraturan ketat AS yang menyekat uranium diolah semula dan diperkayakan bagi pengeluaran senjata nuklear.

Dengan saingan daripada Russia dan China yang sedang menunggu kesempatan, Trump dilihat berminat untuk mengadakan perjanjian dengan Arab Saudi dan memberi nafas baharu kepada industri nuklear AS.

Riyadh dijangka mengumumkan perjanjian pembinaan stesen janakuasa nuklear di kawasan terpencil beberapa bulan lagi, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada AS akan memperoleh kontrak berbilion ringgit itu.

Rejim pengganas Israel, walaupun memiliki senjata nuklear sendiri, membantah sekeras-kerasnya mana-mana negara di Timur Tengah memiliki senjata nuklear dan akan berusaha menggagalkan apa-apa perjanjian mengenainya.

Dasar AS juga membatasi perluasan senjata nuklear, terutama di Timur Tengah, tetapi Trump tidak mempunyai pilihan selain mengurangkan sekatan kepada Arab Saudi.

Walaupun, Arab Saudi memberi jaminan program nuklearnya tidak berbahaya, mereka juga enggan menolak hak untuk meningkatkan keupayaan uranium menjadi senjata.

Wall Street Journal memetik pengakuan seorang pegawai kanan kerajaan Arab Saudi yang berkata, beliau tidak mengatakan Arab Saudi mahu memperkayakan uranium esok atau pada masa akan datang, tetapi Riyadh tidak mahu terikat dengan mana-mana tindakan pengharaman jika melakukannya.

Kenyataan beliau mencetuskan spekulasi bahawa salah satu tujuan program nuklear itu adalah bersaing dengan Iran dan mengekalkan pilihan bagi membangunkan senjata nuklear.

Dengan beberapa perkembangan teknologi bertindih Arab Saudi berada pada kedudukan kukuh untuk bergerak ke arah membangunkan senjata nuklear sebagaimana yang dikehendaki.

Tetapi, tidak pasti bagaimana Trump mampu mempengaruhi Kongres supaya bersetuju dengan perjanjian itu. Mengikut undang-undang AS, sebarang pengeksportan teknologi nuklear membabitkan menandatangan dokumen bukan perluasan dikenali sebagai Perjanjian 123.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pernah menandatangani perjanjian itu yang dikatakan paling ketat pada 2009.

Pentadbiran Trump sekarang ini dilaporkan sedang berusaha memperkenalkan rancangan baharu yang tidak menyekat sepenuhnya Riyadh daripada memiliki senjata nuklear. – Agensi

The post Riyadh bakal ada senjata nuklear appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian