Tun M kata akan selesai masalah negara sekarang jika jadi PM semula

BANGI, 21 Jamadilawal 1439H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan melaksanakan beberapa rancangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara sekarang ini, jika beliau menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Kita mempunyai beberapa idea sekarang. Sebelum pun saya menjadi Perdana Menteri, sememangnya saya telah kaji masalah-masalah ini dan mendapat sedikit idea bagi menyelesaikannya.

“Insya-Allah kalau saya jadi Perdana Menteri, saya akan laksanakan sebahagian daripada idea-idea yang telah saya cipta untuk menyelesaikan masalah ini,” kata bekas Perdana Menteri yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun itu.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat bermula 16 Julai 1981 hingga meletak jawatan pada 31 Oktober 2003. Beliau dinobatkan sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’ kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri baru yang disegani.

Ketika memimpin negara selama 22 tahun, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar dan perancangan yang diilhamkan daripada kejayaan negara luar, sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai sebuah negara berdaya maju di Asia Tenggara dan pernah dinamakan sebagai negara ‘Harimau Ekonomi Asia’.

Dalam sesi Facebook Live ‘Policy Talk – Governans & Ekonomi’ hari ini, beliau berkata, bagi seorang Perdana Menteri yang baharu agak sukar untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh dua tahun.

“Tapi bagi saya umur dah lebih… pengalaman dah banyak, jadi tak payah nak belajar. Segala masalah yang rumit dahulu pun kita dapat selesaikan. Yang ini (masalah) memang lebih rumit daripada dahulu, tapi kita mempunyai sedikit idea berkenaan dengan cara-cara menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir juga berpendapat seorang Perdana Menteri tidak harus terlalu lama memegang jawatan Menteri Kewangan.

Beliau pernah memegang jawatan Menteri Kewangan ketika menjadi Perdana Menteri, tetapi langkah itu, katanya, adalah sementara mendapat calon terbaik menjawat jawatan itu.

“Apabila satu orang Menteri Kewangan digugur atau tidak lagi boleh berkhidmat, maka kita mengambil masa sedikit untuk mencari calon yang baik dan baru. Dalam jangka masa itu saya biasa ambil alih tugas Menteri Kewangan, termasuk menyediakan bajet untuk satu tahun.

“Sedikit sebanyak ia juga menjadi satu pengalaman bagi saya. Tetapi saya berpendapat bahawa adalah lebih baik lagi kalau Perdana Menteri tidak pegang jawatan Menteri Kewangan,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, pada masa dahulu beliau menentukan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersilih ganti memegang jawatan dalam Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

“Kadang-kadang Perdana Menteri menjadi Menteri Pertahanan dan timbalannya menjadi Menteri Dalam Negeri. Kadang-kadang kita bertukar, kerana dua kementerian ini agak penting untuk menentukan keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.

The post Tun M kata akan selesai masalah negara sekarang jika jadi PM semula appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian