Cikgu Penat Mendidik, Sebilangan Artis Merosakkan
Saya menulis daripada sudut pandang seorang Guru. Saya meneliti isu ini dari perpektif seorang pendidik. Kecelaruan akhlak dan keruntuhan moral sangat berkait rapat dengan persekitaran seorang pelajar.
Pada hemat saya pelajar memerlukan ikon atau model yang dapat memberikan nafas baru dalam menempuhi kehidupan globalisasi yang semakin mencabar.
Remaja seolah-olah ketandusan ikon untuk dijadikan idola. Maka kesannya apa yang kerap kali disajikan di depan mata, yang diperdengarkan dek halwa telinga, itulah juga yang menjadi minat dan idola. Apabila sudah menjadi idola, segala apa yang idola mereka buat akan dianggap contoh yang baik.
Isu yang hangat diperkatakan berkaitan pelancaran tudung oleh seorang artis di kelab malam perlu dipandang serius.
Masyarakat yang kurang ilmu terutama di kalangan remaja akan menjadi keliru.
“Oh.. Tak pe kita buat aktiviti dalam kelab malam. Yg penting niat. ”
“Ok jer.. kan benda baik. Tudung kot. Menari-menari ok jer.. Yg penting pakai tudung”
Saya yakin dan pasti, cara fikir seperti ini pasti bermain di kalangan remaja kita apabila melihat isu panas seperti ini.
Tidak kurang juga di kalangan mereka yang mempertahankan kesalahan ini atas dasar ketaksuban minat yang melampau walaupun pada hakikatnya tokoh-tokoh agama telah pun mengeluarkan kenyataan yang menyanggah program pelancaran tersebut.
Lebih malang lagi, kemungkinan ilmuan ini pula yang dikatakan kolot dan sesat.
Justeru saya sebagai seorang guru, merayu kepada mereka yang kononnya “ikon”, agar berfikir sesuatu atas neraca agama sebelum melakukan sesuatu tindakan.
Penat kami mendidik mereka di waktu pagi, kemudian di waktu lain minda pejalar-pelajar ini diracun dengan perkara-perkara negatif.
Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan perbuatan buruk padahnya.
Berhati-hatilah dalam membuat sebarang tindakan. Kerana anda sentiasa diperhatikan.
Mohammad Alif Bin Rahman
NYDP i-Guru Cawangan Melaka.
Ulasan
Catat Ulasan